Ziarah Kasih RELA Johor Santuni Tujuh Keluarga Warga RELA
JOHOR BAHRU – Isteri Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah turun padang dalam Program Lawatan Ziarah Kasih bersama RELA Daerah Johor Bahru bagi menyantuni tujuh keluarga pegawai dan anggota petugas RELA di sekitar Johor Bahru dan Skudai pada Jumaat.
Program yang bermula pada jam 2.30 petang itu melibatkan penyampaian sumbangan khas kepada warga kerja RELA yang sedang diuji dengan masalah kesihatan kronik, selain mereka yang tabah menjaga ahli keluarga yang sakit serta membesarkan anak-anak berstatus Orang Kurang Upaya (OKU).
Antara kunjungan yang dilakukan termasuk ke rumah Pegawai RELA Daerah Batu Pahat, PgKR Syahrizal bin Haron yang sedang berdepan dengan masalah kesihatan, serta keluarga petugas yang cekal membesarkan anak-anak autisme dan anak yang menghidap penyakit jantung berlubang.
Ziarah turut dilakukan kepada petugas yang menjaga pasangan serta ahli keluarga yang terlantar akibat penyakit kronik.
Turut hadir menyampaikan sumbangan ialah Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), TKPjR Mahather bin Smoh serta Pengarah RELA Negeri Johor, TPjR Haji Khairol Faizal bin Rosli.
Program Ziarah Kasih ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan RELA dalam memastikan kebajikan warga kerjanya sentiasa terbela, sekali gus mencerminkan semangat kekeluargaan dan keprihatinan yang tinggi terhadap anggota sukarelawan yang berkhidmat dengan penuh dedikasi kepada masyarakat dan negara.

