YB Shamsul Anuar Lulus Penambahbaikan Dewan Kg Chepor Lenggong
LENGGONG – Dewan Terbuka Kampung Chepor, Lenggong yang merupakan sumbangan YAB Menteri Besar Perak merangkap ADUN Kota Tampan, kini menerima penambahbaikan demi manfaat penduduk setempat. Lawatan ke dewan tersebut telah dilakukan oleh YB Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Hj Nasarah, yang turut meninjau keperluan tambahan yang diutarakan oleh Pemuda Kampung Chepor Lenggong.
Menurut YB Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar, antara permintaan utama adalah penambahbaikan lantai dewan untuk dijadikan gelanggang badminton dan sepak takraw. Permohonan tersebut telah diluluskan dan kerja-kerja penambahbaikan sedang dijalankan bagi memastikan kemudahan sukan yang lebih selesa untuk kegunaan komuniti, khususnya golongan belia.
Selain itu, Pemuda UMNO Kampung Chepor turut mengemukakan beberapa permintaan tambahan bagi meningkatkan kemudahan di dewan berkenaan. YB Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar memaklumkan bahawa beliau telah meluluskan permintaan tersebut dan meminta Setiausaha Sulit beliau untuk membuat penilaian lanjut agar pelaksanaan dapat dilakukan dengan lancar.
Pendekatan proaktif ini jelas menunjukkan komitmen pihak wakil rakyat dalam memastikan kemudahan awam di kawasan luar bandar terus dipertingkatkan mengikut keperluan semasa. Usaha ini juga diharap dapat menggalakkan aktiviti sihat dan memperkukuhkan perpaduan dalam kalangan penduduk, terutamanya golongan muda.
Penduduk dan pemuda Kampung Chepor Lenggong menzahirkan penghargaan atas keprihatinan dan sokongan berterusan daripada pihak kerajaan negeri serta wakil rakyat dalam membangunkan kemudahan untuk kesejahteraan komuniti setempat.

