Warga KDN Diingatkan Tidak Berkompromi Isu Integriti

April 2, 2023

Georgetown: Semua warga Kementerian Dalam Negeri (KDN) diingatkan supaya tidak sesekali berkompromi dengan isu integriti dalam menjalankan tugas masing-masing.

Untuk itu, Timbalan Menterinya, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasrah, berkata semua ketua jabatan dan agensi bertanggungjawab memantau dan sentiasa mengingatkan pegawai serta kakitangan masing-masing supaya sentiasa mengamalkan integriti tidak kira dalam apa jua keadaan.

“Apa jua yang kita laksanakan, saya ingin mengingatkan juga kepada diri saya sendiri bahawa soal integriti sangat penting apatah lagi agensi serta jabatan di bawah kementerian ini berhadapan dengan rakyat.

“Mata telinga rakyat sentiasa memerhatikan kita. Mereka melihat dan menilai kita dan ini akan menjadi ukuran kepada kejayaan kita.

“Saya percaya semua kita faham serta percaya kita sangat komited dan bersungguh-sungguh, jadi (perkara) yang tidak boleh kita buat, kita jangan buat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Penerapan Nilai-Nilai Murni dan Majlis Ramah Berbuka Puasa bersama warga KDN Pulau Pinang di Dewan Komuniti Markas Pasukan Polis Marin Wilayah Satu, Batu Uban di sini, malam ini.

Yang turut hadir Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani dan Ketua Setiausaha (KSU) KDN, Datuk Ruji Ubi.

Dalam pada itu, Shamsul berkata, KDN yang menjadi antara kementerian menerima bajet tertinggi membabitkan peruntukan RM18.518 bilion memainkan tanggungjawab besar dan harus terus melipat gandakan usaha bagi membolehkan apa yang digariskan kerajaan dan kementerian itu dicapai.

“Setiap sen diperuntukkan kepada kita mesti dibelanjakan dengan betul. Saya cukup yakin dengan Datuk KSU dengan semua agensi jabatan-jabatan mampu melakukannya…bagaimana kita nak segera bergerak dan sampaikan kepada rakyat di bawah.

“Pastinya rakyat mahu segera melihat hasil apa yang dibelanjakan adakah benar-benar memberi impak besar kepada rakyat, jadi saya berharap kita lakukanlah dengan bersungguh-sungguh (manfaatkan) wang yang diperuntukkan kepada kita,” katanya.

Beliau turut menegaskan, jika peruntukan itu hanya disimpan dan tidak dibelanjakan, maka ia tidak dianggap sebagai pengurusan kewangan cekap.

Sebaliknya, katanya, peruntukan diberi harus digunakan sebaiknya kerana rakyat mahu melihat hasil yang boleh memberi manfaat kepada mereka.

“Saya yakin Ketua Jabatan, KSU dan semua pihak mampu melaksanakan yang terbaik kerana yang penting adalah rakyat.

“Jika rakyat tak komen, rakyat bagi reaksi positif, rakyat gembira dengan apa yang kita belanjakan bermakna kerja kita tentu kita laksanakan terbaik,” katanya.

Terdahulu Shamsul dan Acryl Sani turut menyampaikan sumbangan duit raya kepada kepada komuniti setempat membabitkan 100 penerima terdiri golongan asnaf, anak yatim dan ibu tunggal.

Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2023/04/1085230/warga-kdn-diingatkan-tidak-berkompromi-isu-integriti

Bernama: https://www.bernama.com/bm/am/news.php?id=2178389
Utusan: https://www.utusan.com.my/nasional/2023/04/tiada-kompromi-isu-integriti/
Sinar Harian: https://www.sinarharian.com.my/article/252648/berita/nasional/warga-kdn-diingatkan-tidak-kompromi-isu-integriti

https://www.shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/10/logo_white1.png
Hakcipta Terpelihara © 2008 - 2024 Dr. Shamsul Anuar Nasarah.
https://www.shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/10/logo_white1.png
Hakcipta Terpelihara © 2020 Shamsul Nasarah.
Contact
+605 767 9055
Pusat Khidmat Ahli Parlimen Lenggong, 52A, Jalan Alang Iskandar, 33400 Lenggong, Perak.
Popular Links
How Can You Help