UTM Universiti Awam Pertama Sertai Inisiatif Lenggong Pusat Pendidikan Terbuka
JOHOR BAHRU – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) mencipta sejarah sebagai universiti awam pertama yang melibatkan diri secara langsung dalam inisiatif menjadikan Lenggong sebagai Pusat Pendidikan Terbuka, menerusi penubuhan Makmal Pembelajaran Terbuka UTM-Lenggong Geopark di Tasek Sendarhalu, Lenggong, Perak.
Timbalan Menteri Dalam Negeri merangkap Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, inisiatif tersebut adalah hasil daripada Memorandum Persefahaman (MOU) yang telah dimeterai pada Mei 2026 lalu antara UTM dengan Badan Pengurusan Lenggong Geopark.
Beliau berkata, bagi merealisasikan usaha tersebut, penubuhan Institut Lembah Lenggong telah dirancang untuk memainkan peranan utama dalam menggerakkan penglibatan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) dalam pembangunan Lenggong sebagai Pusat Pendidikan Terbuka.
“Semua ini amat bersesuaian dengan status kawasan ini yang telah diiktiraf sebagai Lenggong UNESCO Global Geopark dan Lenggong Tapak Warisan Dunia UNESCO,” katanya.
Shamsul Anuar berkata demikian selepas mengadakan perbincangan bersama Naib Canselor UTM, Prof. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UTM, Prof. Ts. Dr. Ali bin Selamat serta barisan pengurusan UTM di kediaman Naib Canselor UTM di Skudai, Johor Bahru pada Sabtu.
Pertemuan yang berlangsung pada jam 8.00 malam itu membincangkan langkah seterusnya bagi merealisasikan Makmal Pembelajaran Terbuka UTM-Lenggong Geopark di Tasek Sendarhalu, Lenggong.

