UTM Lenggong Geopark Research Centre Dibina Di Tasek Sendarhalu
LENGGONG – Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah meninjau sebuah dewan di Tasek Sendarhalu yang akan diserahkan kepada Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bagi pembinaan UTM Lenggong Geopark Research Centre.
Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar yang juga Ahli Parlimen Lenggong berkata, kerja pengubahsuaian dewan berkenaan akan dilaksanakan dengan segera bagi membolehkan pusat penyelidikan tersebut direalisasikan.
“Saya meninjau dewan yang akan diberikan kepada UTM untuk pembinaan UTM Lenggong Geopark Research Centre. Kerja pengubahsuaian akan dilakukan segera,” katanya.
Penubuhan pusat penyelidikan ini merupakan langkah strategik susulan pengiktirafan Lenggong UNESCO Global Geopark yang diterima secara rasmi pada 28 April 2026 di ibu pejabat UNESCO, Paris. Pengiktirafan tersebut menjadikan Lenggong satu-satunya kawasan di Semenanjung Malaysia yang memiliki dwi-pengiktirafan antarabangsa UNESCO, iaitu Tapak Warisan Dunia UNESCO sejak 2012 dan kini UNESCO Global Geopark.
Kerjasama bersama UTM ini dijangka dapat memperkukuhkan usaha penyelidikan serta pemuliharaan warisan geologi dan arkeologi Lembah Lenggong, di samping menjadi hab akademik yang memberi manfaat kepada penyelidik dan masyarakat setempat.
Pusat penyelidikan ini turut dilihat mampu mengangkat potensi Lenggong sebagai destinasi pelancongan warisan dan pendidikan bertaraf antarabangsa.

