Upacara Menaikkan Bendera Sempena Perhimpunan Agung UMNO 2025
KUALA LUMPUR – Perhimpunan Agung UMNO 2025 bermula pagi ini dengan upacara menaikkan bendera parti di Dataran Menara Dato’ Onn, WTC Kuala Lumpur.
Upacara tradisi itu berlangsung sekitar jam 8 pagi, dimulakan dengan nyanyian lagu Wanita UMNO, diikuti Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO. Setiap ketua pergerakan menaikkan bendera sayap masing-masing sebelum Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi, bersama pimpinan tertinggi parti, menyempurnakan pengibaran bendera utama, ‘Sang Saka Bangsa’, diiringi lagu rasmi parti.
Majlis turut disaksikan oleh Ahli Majlis Kerja Tertinggi, barisan exco, serta perwakilan dari seluruh negara. Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah, sebelum ini menegaskan bahawa UMNO perlu menampilkan imej baharu yang lebih segar dan diyakini rakyat jika ingin kekal relevan serta kembali menjadi parti dominan dalam landskap politik negara.
Perhimpunan kali ini dijangka menyaksikan perbahasan hangat melibatkan isu-isu semasa, cabaran politik, serta hala tuju parti dalam menghadapi landskap politik negara yang semakin mencabar. Sepanjang minggu ini, pelbagai agenda dan usul akan dibentangkan dan dibahaskan oleh para perwakilan.
UMNO dijangka mengumumkan beberapa keputusan penting selepas perhimpunan berakhir, yang bakal memberi kesan kepada masa depan parti dan politik tanah air.

