UMNO BN Perlu Buktikan Kesungguhan Kembali Pimpin Kerajaan
LENGGONG – UMNO dan Barisan Nasional (BN) perlu menunjukkan kesungguhan yang jelas serta mampu meyakinkan rakyat sekiranya mahu kembali ke kedudukan asal sebagai peneraju kerajaan, kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO Malaysia, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah. Menurut beliau, antara ukuran penting yang perlu diberi perhatian ialah jumlah kerusi yang ditandingi pada pilihan raya kerana aspek itu mencerminkan tahap keseriusan UMNO BN untuk kembali mengetuai kerajaan.
Beliau berkata, jika UMNO BN bertanding dengan jumlah kerusi yang sedikit, keadaan itu boleh memberi isyarat kepada rakyat bahawa gabungan tersebut tidak benar-benar serius untuk kembali mengetuai kerajaan. Sebaliknya, beliau berpandangan rakyat mungkin melihat UMNO BN hanya mahu kekal sebagai sebahagian daripada kerajaan tanpa tekad yang jelas untuk memimpin.
Dalam pada itu, Shamsul Anuar menegaskan bahawa usaha untuk kembali mendapat kepercayaan rakyat tidak memadai sekadar meningkatkan jumlah kerusi yang ditandingi. Beliau menekankan keperluan untuk memperkukuhkan parti, merapatkan perpaduan, memperkemas perjuangan, serta terus membela kepentingan rakyat secara konsisten.
“UMNO BN mesti menjadi parti yang dilihat penting dan disukai rakyat,” katanya ketika merasmikan Persidangan UMNO Cawangan Kampung Tampan Air di Dewan Kampung Tampan Air, Lenggong, Perak.

