KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) dan UMNO mesti meyakinkan rakyat Sabah bahawa BN mampu membawa kestabilan dan pembangunan di negeri itu, menjaga kebajikan rakyatnya serta mahu kembali memimpin.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah, berkata ramai yang mahu melihat UMNO-BN Sabah menunjukkan keberanian mengambil langkah politik demi masa depannya.
Justeru, beliau menyifatkan keputusan parti itu untuk tidak bekerjasama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) tidak lama lagi sebagai langkah yang tepat, terutama ketika demografi dan landskap politik di negeri itu sudah banyak berubah.
“UMNO-BN mesti dilihat sebagai parti yang tidak dikawal oleh pihak lain. Justeru, keputusan berani Pengerusi BN (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) yang didokong pelbagai lapisan pimpinan tertinggi parti penting bagi memperlihatkan kepada rakyat keupayaan BN mencorakkan politik Sabah demi kepentingan rakyatnya.
“BN Sabah mesti kekal bersatu padu kerana ini kunci utama untuk menang dan pastinya sokongan rakyat penting untuk UMNO-BN menang pada PRN.
“Langkah seterusnya adalah segera tingkatkan usaha memenangi hati rakyat. Landskap sudah berubah dan generasi muda penting sebagai penentu masa depan kepada mana-mana parti di PRN Sabah kali ini,” kata beliau dalam Facebooknya, hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO sebelum ini mengumumkan keputusan muktamad BN dan UMNO Sabah untuk tidak bekerjasama dengan GRS pada PRN17 Sabah.
Parti itu memutuskan hanya akan bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya negeri berkenaan selepas meneliti semua fakta dan butiran daripada perbincangan tiga pihak sebelum ini.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Pengerusi PH berkata, beliau menghormati keputusan UMNO itu, namun menegaskan PH akan meneruskan rundingan dengan kedua-dua gabungan berkenaan.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor yang juga Pengerusi GRS, pula berkata gabungan diterajuinya masih meneruskan kerjasama dengan PH pada PRN17 walaupun UMNO mengambil keputusan menolak kerjasama.


