Perwakilan UMNO sudah membuat keputusan, sekali gus membuktikan demokrasi kekal subur dalam parti keramat orang Melayu itu. Pimpinan dipilih dan dibentuk memperlihatkan gabungan pelbagai pihak, iaitu kalangan berpengalaman dan mereka yang terdiri daripada muka baharu.
Saya berkeyakinan dengan gabungan pemimpin daripada pelbagai latar belakang itu mampu membawa semangat kebangkitan semula UMNO. Paling utama, semua pemimpin dipilih itu mendapat sokongan besar dan majoriti ahli pelbagai peringkat. Sokongan diterima setiap pemimpin jika digabungkan menjadi asas kepada kekuatan parti.
Inilah juga harapan dan keazaman Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk menyatukan pimpinan parti yang juga dapat dilihat dengan jelas dalam beberapa lantikan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT).
Antara Ahli MKT dilantik dalam usaha merealisasikan tekad UMNO Bangkit 2.0 adalah mereka yang kalah pada pemilihan dan ada juga yang tidak bersama beliau sebelum ini. Tindakan ini mesej jelas beliau mahukan perpaduan dalam UMNO. Parti akan kuat dan mudah bangkit semula jika perpaduan ahli kukuh dan teguh.
Paling utama, UMNO mesti segera memulihkan imejnya. Ketika Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), imej parti ini sangat ‘hodoh’ apabila rakyat melihat UMNO berpecah belah, bergaduh semasa sendiri dan tidak sehaluan, malah ada pemimpin mengkritik parti secara terbuka.
Semua ini mencalar wajah UMNO sehingga menyebabkan slogan ‘Kestabilan dan Kemakmuran’ dibawa UMNO dan Barisan Nasional (BN) tidak diterima rakyat. Bagaimana rakyat mahu percaya ‘kestabilan’ yang ingin ditawarkan kalau keadaan dalam parti sendiri tidak meyakinkan mereka?
Kesepakatan dalam UMNO semakin jelas
Kesepakatan dalam barisan kepemimpinan UMNO juga jelas kelihatan sebaik selesai pemilihan parti. Beberapa lantikan bagi jawatan Ahli MKT, Pengerusi Perhubungan dan beberapa jawatan lain termasuk Pengerusi Majlis-Majlis adalah gambaran jelas keseriusan UMNO mahu bergerak hadapan.
Presiden sendiri mengamanahkan setiap mereka dengan peranan masing-masing, iaitu mengetuai majlis atau portfolio tertentu dan jika digerakkan secara aktif, pasti memberi kekuatan kepada parti. Dengan kebersamaan, perpaduan mereka bentuk akan menjadi ikutan kepada pemimpin dan ahli pada pelbagai peringkat.
Keadaan ini membolehkan UMNO solid untuk menghadapi apa juga cabaran.
Hal itu ditegaskan dalam mukadimah ucapan Ahmad Zahid ketika memulakan Mesyuarat Pertama MKT UMNO Rabu lalu yang jelas ke arah menyatukan kepemimpinan parti.
Saya yakin semua serius mahu memperkukuhkan parti setelah ‘dipukul teruk’ sewaktu PRU15. Malah, UMNO akan kembali diterima rakyat jika parti segera memulihkan imejnya.
Kalau UMNO dilihat berpadu, sekata dan sepakat, fokus boleh dibuat ke arah memperkukuhkan parti serta kita boleh menghadapi PRN lebih mudah. Maknanya, tidak timbul perkara ‘pembersihan’ dalam parti kerana selepas pemilihan semua kembali bersama.
Yang penting, semua dilantik mesti ikhlas dan bersama ke arah memulihkan parti serta bersedia menghadapi enam PRN bakal menjelang. Ini ujian penting kepemimpinan baharu UMNO yang juga mesti segera mengkaji dan memahami apa yang kumpulan muda dan pengundi inginkan. UMNO tidak boleh melakukan perkara hanya popular dalam kalangan ahli, tetapi tidak pada rakyat.
Menarik sokongan muda tidak boleh dilakukan oleh Pemuda atau Puteri UMNO sahaja, sebaliknya UMNO mesti bersama dengan menjadikannya agenda besar parti untuk menarik semula sokongan golongan berkenaan.
Kesungguhan dekati generasi muda
Bagaimanapun dari sudut kepemimpinan baharu dalam Pemuda dan Puteri UMNO serta beberapa lantikan pemimpin muda dalam MKT adalah gambaran kesungguhan UMNO mendekati dan menarik pengundi 18 tahun.
Kalau diteliti keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor, ia menampakkan peratusan pengundi muda mengundi BN juga tinggi, tetapi sokongan kumpulan ini hilang pada PRU15.
Justeru, punca peratusan golongan muda tinggi pada beberapa PRN, tetapi kurang ketika PRU15 perlu dikaji dan diambil tindakan segera. Sebenarnya, ini juga antara hala tuju besar yang Presiden UMNO mahu UMNO lakukan dan disebut sewaktu Ucapan Dasar pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022.
Kepemimpinan baharu mesti segera menterjemahkannya dalam bentuk tindakan dan pasti ukuran penilaiannya ialah pada PRN sebelum kita hadapi PRU16.
Hakikatnya, UMNO sentiasa memberikan ruang kepada pemimpin muda dalam banyak keadaan. Sebagai calon pilihan raya, kemudian memegang pelbagai jawatan penting dalam kerajaan.
Ini juga menjadi latihan dan proses parti menyediakan pimpinan pelapis. Maknanya golongan muda dalam UMNO sentiasa diberikan peluang membina kekuatan, menimba pengalaman sebagai persediaan mengambil alih parti.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO dan Timbalan Menteri Dalam Negeri