Tumpu Tiga Agenda Untuk UMNO Kembali Berkuasa

July 6, 2024

JERLUN – Ahli UMNO diminta memberikan sepenuh tumpuan kepada tiga agenda sekiranya mahu parti itu kembali berkuasa sama ada dalam aspek politik mahupun mentadbir negara.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, UMNO perlu berusaha untuk mendapatkan kembali sokongan orang Melayu yang sudah beralih kepada parti lain.

Menurutnya, tumpuan juga harus diberikan kepada pengundi teras UMNO yang dilihat sudah tidak lagi bersama parti itu berdasarkan kepada beberapa siri pilihan raya lepas.

“Agenda ketiga ialah dapatkan kembali sokongan daripada generasi muda khususnya dalam Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) akan datang.

“Tiga perkara ini penting, kalau UMNO ingin terus kekal menjadi parti yang digeruni dan diikuti, kita mesti cari jalan bagaimana untuk kembali ke era kegemilangan sebelum ini,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Jerlun di sini pada Sabtu.

Hadir sama Ketua UMNO Bahagian Jerlun, Datuk Othman Aziz.

Shamsul Anuar yang juga Timbalan Menteri Dalam Negeri berkata, secara realitinya UMNO kini berdepan kemerosotan sokongan membabitkan tiga kelompok berkenaan.

“Kita hendaklah berubah ke arah untuk memenuhi keinginan dan cita rasa mereka untuk bersama kita. Maka imej parti dan perjuangan parti mestilah memenuhi kehendak generasi kini supaya kita kembali bersaing,” katanya.

Menurutnya lagi, sekiranya UMNO tidak melakukan perubahan seiring dengan perubahan yang berlaku pada rakyat, dibimbangi penolakan akan terus berlaku.

“Mana-mana parti di dunia juga membuat perubahan berasaskan kepada perubahan pada pengundi menyebabkan parti itu mampu bertahan atau parti yang kalah kembali berkuasa kerana dapat memenuhi keinginan rakyat ketika itu,” ujarnya.

Shamsul Anuar percaya, jika UMNO melakukan perubahan dengan bersungguh-sungguh untuk mengembalikan sokongan rakyat, tidak mustahil kawasan majoriti Melayu termasuk di Kedah akan kembali kepada parti itu.

“Intipati paling utama ialah dapatkan sokongan rakyat dan kekal membela kepentingan ahli dan rakyat. Kita hendaklah menjuarai dan penuhi kehendak rakyat.

“Saya yakin jika UMNO dekat dengan rakyat dan memenuhi keinginan rakyat, sentiasa bersama rakyat, mereka akan kembali menyokong kita,” jelasnya.

Menurutnya lagi, UMNO hendaklah kembali kepada entiti asal dengan menjadi parti yang berjuang atas kepentingan rakyat.

“UMNO dikenali sebagai parti yang perjuangkan kepentingan orang Melayu dan Islam, pada masa sama membela kepentingan kaum-kaum lain dalam negara ini.

“Inilah asas perjuangan sejak dahulu, parti yang mewakili orang Melayu Bumiputera. Sudah tentu untuk membolehkan UMNO kembali kepada entiti tersebut dan terus dihormati dan dipercayai, kita tiada cara lain selain berubah,” jelasnya.

Sumber: https://www.sinarharian.com.my/article/673728/berita/politik/tumpu-tiga-agenda-untuk-umno-kembali-berkuasa

https://www.shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/10/logo_white1.png
Hakcipta Terpelihara © 2008 - 2024 Dr. Shamsul Anuar Nasarah.
https://www.shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/10/logo_white1.png
Hakcipta Terpelihara © 2020 Shamsul Nasarah.
Contact
+605 767 9055
Pusat Khidmat Ahli Parlimen Lenggong, 52A, Jalan Alang Iskandar, 33400 Lenggong, Perak.
Popular Links
How Can You Help