KUALA LUMPUR, 13 Jun – Kementerian Dalam Negeri (KDN) sentiasa memandang serius berkaitan isu Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dan keberadaan mereka di negara ini.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata operasi serta tindakan secara berterusan dilaksanakan bagi mengelakkan berlakunya peningkatan jumlah PATI dalam negara.
“Penguatkuasaan secara bersepadu juga dilaksana dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pihak berkuasa negeri bagi mengenal pasti lokasi-lokasi yang menjadi tumpuan PATI di seluruh negara termasuk kawasan perumahan, tanah kerajaan dan mengekang daripada keberadaan PATI untuk mendiami tanah kerajaan secara sah”, katanya pada sesi Dewan Rakyat.
Tambahnya, sepanjang tahun lalu, sebanyak 8,033 operasi dan 115,134 pemeriksaan telah dijalankan oleh Jabatan Imigresen Malaysia terhadap PATI serta majikan di seluruh negara.
Kemasukan keberadaan warga asing di negara ini tertakluk kepada dasar peraturan dan perundangan termasuklah keperluan memiliki dokumen, perjalanan yang sah, mematuhi tempoh keberadaan yang dibenarkan serta pematuhan kepada syarat-syarat pas yang dikeluarkan.
Sementara itu, sebanyak 11,309 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan di depot tahanan imigresen seluruh negara setakat Mei 2023.
PATI daripada Myanmar direkodkan paling ramai ditahan di depot tahanan imigresen iaitu sebanyak 3,997 orang, diikuti oleh Filipina (3,055) dan Indonesia (2,811).
Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, Jabatan Imigresen sentiasa mengambil tindakan secara konsisten sebagai usaha pengusiran bagi menangani isu kesesakan di depot tahanan.
“Melaksanakan pemindahan banduan daripada depoh berkapasiti tinggi kepada kurang berkapasiti tinggi. Kedua, mempergiat mengusir PATI ke negara asal. Ketiga, mengadakan rundingan secara berkala dengan pihak perwakilan asing dan kita bekerjasama bagi mempercepatkan proses penghantaran pulang tahanan ke negara asal”, katanya.
Bermula Januari hingga Jun tahun ini, Jabatan Imigresen telah melaksanakan 3,552 operasi penguatkuasaan melibatkan 9,377 tangkapan PATI dari pelbagai negara.
Sumber: https://berita.rtm.gov.my/index.php/semasa/65291-tindakan-berterusan-kekang-peningkatan-jumlah-pati