Timbalan Menteri Ekonomi Tinjau Tapak UNESCO Lenggong
LENGGONG – Timbalan Menteri Ekonomi telah mengadakan lawatan kerja ke beberapa kawasan penting di Lenggong UNESCO Global Geopark dan Tapak Warisan Dunia UNESCO Lembah Lenggong, dengan diiringi oleh Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah.
Lawatan tersebut diadakan bagi meninjau secara dekat potensi pembangunan Lenggong sebagai destinasi warisan dan pelancongan bertaraf antarabangsa, di samping mengenal pasti keperluan pembangunan yang boleh disokong di peringkat Persekutuan.
Untuk rekod, Lenggong merupakan satu-satunya kawasan di Semenanjung Malaysia yang menerima dwi-pengiktirafan antarabangsa UNESCO, iaitu sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO bagi Tapak Arkeologi Lembah Lenggong pada tahun 2012, serta Lenggong UNESCO Global Geopark yang diiktiraf secara rasmi di ibu pejabat UNESCO, Paris pada 28 April 2026.
Menurut Shamsul Anuar yang juga Pengerusi Majlis Pelancongan Lenggong, lawatan tersebut amat bermakna dalam memastikan pembangunan Lenggong terus mendapat perhatian dan sokongan sewajarnya daripada Kerajaan Persekutuan.
Beliau menegaskan bahawa kerjasama erat bersama Kementerian Ekonomi adalah penting dalam merangka pembangunan yang seimbang dan mampan, merangkumi aspek infrastruktur, pemuliharaan warisan serta pemerkasaan ekonomi komuniti setempat.
Shamsul Anuar turut menyatakan harapan agar lawatan tersebut dapat membuka ruang kepada lebih banyak inisiatif dan peruntukan pembangunan untuk Lenggong pada masa hadapan, sejajar dengan kedudukannya sebagai destinasi bertaraf dunia.

