Timbalan Menteri Dalam Negeri Rasmi Penutupan Program Khidmat Masyarakat UPSI
LENGGONG – Majlis Perasmian Penutupan Program Khidmat Masyarakat (Kampung Angkat) anjuran Sukarelawan Polis Siswa dan Siswi (SUKSIS) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah berlangsung dengan penuh bermakna di Kampung Sawa, Lenggong.
Majlis istimewa ini telah disempurnakan oleh YB Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah, Timbalan Menteri Dalam Negeri, yang turut meluangkan masa berinteraksi bersama para sukarelawan. Dalam ucapan perasmiannya, beliau menzahirkan penghargaan kepada UPSI dan SUKSIS atas inisiatif murni yang bukan sahaja memperkukuh hubungan antara institusi pengajian tinggi dan masyarakat, malah membentuk jati diri serta semangat kesukarelawanan dalam kalangan mahasiswa dan mahasiswi.
Program Khidmat Masyarakat (Kampung Angkat) ini telah berlangsung selama beberapa hari dan menerima sambutan yang sangat positif. Sepanjang program ini, para sukarelawan berpeluang mendekati komuniti setempat, memahami keperluan serta cabaran yang dihadapi, dan seterusnya membina hubungan yang erat antara universiti dan komuniti luar.
Kerjasama yang terjalin diharap dapat menjadi contoh kepada institusi lain dalam memperkasakan peranan mahasiswa dan mahasiswi sebagai agen perubahan di peringkat akar umbi. Program sebegini bukan sahaja memberi impak kepada masyarakat, malah turut memperkaya pengalaman dan nilai kepimpinan dalam kalangan sukarelawan.
Majlis penutupan ini menandakan berakhirnya satu lagi episod kerjasama antara universiti dan komuniti luar. Semangat kesukarelawanan yang dipupuk sepanjang program diyakini akan terus mekar dalam diri setiap sukarelawan, seterusnya memberi manfaat berterusan kepada masyarakat dan generasi muda pada masa akan datang.

