Tiada Diskriminasi Terhadap Bukan Bumiputera Dalam Pengambilan Anggota PDRM – Shamsul Anuar

November 20, 2025

Tiada kuota khusus ditetapkan bagi Bumiputera atau bukan Bumiputera dalam pengambilan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), tegas Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah.

Sebaliknya, Ahli Parlimen Lenggong itu berkata, proses pengambilan dibuat berdasarkan merit, kelayakan akademik, tahap kesihatan, kecergasan fizikal dan lulus tapisan keselamatan.

Sehingga 31 Ogos tahun ini, PDRM mempunyai 136,503 anggota dan pegawai awam, dengan 7,581 atau 5.5 peratus adalah bukan Bumiputera, kata Shamsul Anuar.

Malah terdapat sebanyak 553 anggota bukan bumiputera di Jabatan Imigresen Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (103) dan Jabatan Penjara Malaysia (440) ketika ini.

“PDRM telah melaksanakan beberapa inisiatif termasuk memberi kelonggaran syarat lantikan kepada calon bukan Bumiputera seperti fizikal dan akademik, di samping giatkan promosi libat urus di sekolah, institusi pengajian tinggi (IPT) dan komuniti setempat.

“Langkah ini bertujuan membuka lebih banyak ruang penyertaan tanpa menjejaskan tahap profesionalisme dan integriti pasukan,” kata Shamsul Anuar.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Klang, Ganabatirau Veraman di Dewan Rakyat pada Khamis.

Dalam pada itu, Shamsul Anuar menjelaskan proses pengambilan anggota PDRM melibatkan hebahan melalui media dan saluran rasmi, permohonan mengikut kriteria skim perkhidmatan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), serta tapisan kelayakan, ujian fizikal dan rekod jenayah.

“PDRM jamin proses lantikan dan kenaikan pangkat bebas daripada diskriminasi kaum atau agama. Malah, untuk bukan Bumiputera, kita buat kelonggaran syarat fizikal dan akademik serta promosi aktif,” jelasnya lagi.

https://www.shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/10/logo_white1.png
Hakcipta Terpelihara © 2008 - 2026 Dr. Shamsul Anuar Nasarah.
https://www.shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/10/logo_white1.png
Hakcipta Terpelihara © 2020 Shamsul Nasarah.
Contact
+605 767 9055
Pusat Khidmat Ahli Parlimen Lenggong, 52A, Jalan Alang Iskandar, 33400 Lenggong, Perak.
Popular Links
How Can You Help