Tasik Raban Lenggong Akan Terus Diperkasa Sebagai Destinasi Pelancongan

November 7, 2023

LENGGONG, 7 Nov – Sebanyak RM2 juta dibelanjakan pada tahun ini dalam usaha memperkasakan lagi Tasik Raban, Lenggong sebagai salah satu destinasi percutian menarik di negeri ini sesuai dengan Lenggong Tapak Warisan Dunia UNESCO dan Lenggong Geopark Kebangsaan.

Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah dalam satu kenyataan berkata Tasik Raban, Lenggong merupakan kawasan yang telah, sedang dan akan terus dibangunkan sebagai destinasi pelancongan menarik di Lenggong.

“Bagi tahun ini sahaja dibelanjakan sebanyak lebih RM2 juta untuk pembangunan di kawasan ini. Pembangunan Tasik Raban Lenggong dilaksanakan sesuai dengan Lenggong Tapak Warisan Dunia UNESCO dan Lenggong Geopark Kebangsaan.

“Kalau diteliti faktanya, Tasik Raban terletak bahagian utara Empangan Chenderoh iaitu empangan hidroelektrik yang dibina pada awal tahun 1928. Ini empangan hidroelektrik pertama di Hulu Perak dengan menggunakan kepakaran British.

“Tasik ini uniknya terbentuk di kawasan lembah di antara perbukitan kubah granit Chepar di bahagian timur dan banjaran granit bintang di bahagian barat, kini telah hampir matang dan mempunyai ciri ekosistem seperti satu tasik tabii. Bahagian ini juga merupakan tasik kuno terbentuk akibat runtuhan cerun Gunung Hong yang menyediakan sekitaran sesuai untuk penempatan manusia awal di rantau ini,” katanya.

Katanya lagi, tasik ini mempunyai banyak alur sempit di antara permatang perbukitan dan di kawasan yang agak luas adalah pulau-pulau kecil yang berasal daripada puncak bukit, malah di bahagian hulu tasik ialah ekosistem pesisir yang baharu, kaya dengan tumbuhan mengkuang, rumput air dan teratai.

“Sangat menarik, tasik ini membentuk ekosistem akuatik yang unik dengan nilai estetik dan kepelbagaian biologi tinggi bertaraf kebangsaan. Tasik ini diserikan oleh beberapa perkampungan tradisional antaranya Kampong Raban, Kampong Kelantan, Kampong Cherakoh Padang Luas, Kampong Beng. Komuniti penduduk hidup selain bergantung kepada sumber tasik, ramai yang belerja ladang, bertani dan sebagainya.

“Beberapa kemudahan pelancongan dan rekreasi yang baik terdapat di Dataran Tasik Raban, antaranya Resort Tasek Raban ( Kendalian Majlis Daerah Lenggong ) dan banyak kemudahan lain. Menarik disini apabila kawasan sekitar ini, menjadi kawasan pelbagai aktiviti pelancongan,” tambahnya. – UMNO Online

Sumber: https://umno-online.my/2023/11/07/tasik-raban-lenggong-akan-terus-diperkasa-sebagai-destinasi-pelancongan-dr-shamsul-anuar/

https://www.shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/10/logo_white1.png
Hakcipta Terpelihara © 2008 - 2024 Dr. Shamsul Anuar Nasarah.
https://www.shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/10/logo_white1.png
Hakcipta Terpelihara © 2020 Shamsul Nasarah.
Contact
+605 767 9055
Pusat Khidmat Ahli Parlimen Lenggong, 52A, Jalan Alang Iskandar, 33400 Lenggong, Perak.
Popular Links
How Can You Help