Tambahan 9,000 MCAD Akan Diagihkan Januari Depan

December 11, 2023

KUALA LUMPUR – Kementerian Dalam Negeri memaklumkan tambahan 9,000 unit Mobile Card Acceptence Device (MCAD) akan diagihkan kepada semua jabatan, kontinjen dan formasi Polis Diraja Malaysia (PDRM) bermula Januari depan.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah berkata, penambahan peralatan itu dilakukan selepas kerajaan pada tahun lalu telah meluluskan peruntukan untuk menambah jumlahnya bagi kegunaan PDRM.

Beliau berkata, ketika ini sebanyak 4,505 unit MCAD telah dibekalkan kepada jabatan dan Kontinjen PDRM seluruh negara.

“Peralatan MCAD ini mempunyai fungsi untuk membuat semakan pelbagai data secara masa sebenar (real time) seperti maklumat dalaman PDRM meliputi rekod jenayah, saman, orang hilang dan pelbagai rekod lain.

“Dalam masa sama, data-data dari agensi lain seperti data Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Jabatan Imigresen (JIM) yang telah diintegrasi boleh dicapai menggunakan peranti yang sama,”katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Negara hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Senator Datuk A. Kesavadas Nair yang mahu kerajaan menyatakan adakah anggota polis yang terlibat dalam satu-satu operasi sekatan atau pemeriksaan jalan raya sudah dilengkapi dengan kemudahan peranti digital.

Katanya, alatan itu bagi melakukan verifikasi terhadap tempoh cukai jalan kenderaan bermotor rentetan daripada pelaksanaan alternatif digital bagi paparan cukai jalan dan lesen memandu.

Mengulas lanjut, Shamsul Anuar berkata, melalui integrasi data ini, penggunaan peranti digital MCAD mampu untuk membuat semakan berkaitan lesen, cukai jalan dan insurans dengan memasukkan nombor pendaftaran kenderaan dan maklumat yang dipaparkan adalah berdasarkan rekod yang terdapat di dalam pangkalan data JPJ.-KOSMO! ONLINE

Sumber: https://www.kosmo.com.my/2023/12/11/tambahan-9000-mcad-akan-diagihkan-januari-depan-kdn/

https://www.shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/10/logo_white1.png
Hakcipta Terpelihara © 2008 - 2023 Dr. Shamsul Anuar Nasarah.
https://www.shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/10/logo_white1.png
Hakcipta Terpelihara © 2020 Shamsul Nasarah.
Contact
+605 767 9055
Pusat Khidmat Ahli Parlimen Lenggong, 52A, Jalan Alang Iskandar, 33400 Lenggong, Perak.
Popular Links
How Can You Help