SUNGAI SIPUT – Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah hari ini menerima taklimat terperinci mengenai projek Pembinaan Jalan Kg Beng ke Kg Intan Suraya, Sungai Siput Fasa 1 di Pejabat Tapak projek berkenaan.
Sesi taklimat yang berlangsung pada pukul 11.00 pagi itu memberi penjelasan menyeluruh mengenai status kemajuan kerja-kerja pembinaan, aspek perancangan teknikal, serta jadual pelaksanaan projek.
Shamsul Anuar turut mengadakan beberapa sesi perbincangan bersama pihak-pihak yang terlibat secara langsung dalam pelaksanaan projek bagi memastikan setiap fasa berjalan mengikut perancangan yang ditetapkan.
Melalui taklimat tersebut, beliau dapat menilai secara menyeluruh perkembangan semasa projek yang bertujuan meningkatkan ketersambungan dan kemudahan perhubungan bagi penduduk di kedua-dua kampung terbabit.
Projek infrastruktur ini dijangka memberi impak positif kepada masyarakat setempat melalui peningkatan aksesibiliti yang akan turut memacu pertumbuhan sosioekonomi kawasan berkenaan.


