Taklimat Persediaan Menjawab Sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan Dewan Rakyat & Dewan Negara
“Saya hari ini menjawab 3 soalan dimana 2 soalan di Dewan Negara Parlimen Malaysia dan kemudian menjawab 1 soalan di Dewan Rakyat Parlimen Malaysia.”
KUALA LUMPUR, 28 Ogos 2025 – YB Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar bin Nasarah, Timbalan Menteri Dalam Negeri menjawab pertanyaan daripada YB Senator Tuan Musoddak bin Ahmad berkenaan dengan keberkesanan projek kerjasama Jabatan Penjara Malaysia dengan badan bukan kerajaan dan agensi kerajaan dalam penyediaan peluang pekerjaan kepada golongan Orang Diparol (ODP) bagi membolehkan golongan ini dapat bersama semula dalam kelompok masyarakat selepas menjalani tempoh hukuman. YB Timbalan Menteri Dalam Negeri turut menjawab soalan daripada YB Senator Tuan Abun Sui Anyit berkenaan dengan statistik pemberian kewarganegaraan kepada pemohon-pemohon yang tiada dokumen diri kepada penduduk orang asal bertaraf Bumiputera di Sarawak di Dewan Negara, hari ini.
Sementara itu, dalam Sesi Jawab Lisan Dewan Rakyat, YB Timbalan Menteri Dalam Negeri menjawab pertanyaan daripada YB Tuan Tan Hong Pin, Ahli Parlimen Bakri berkenaan dengan langkah-langkah yang telah diambil untuk mengurangkan penyalahgunaan kemudahan pengecualian visa kepada pelawat asing supaya tidak digunakan untuk membekalkan perkhidmatan dan berniaga.
Turut hadir di Parlimen Malaysia pada sesi hari ini, pegawai-pegawai kanan KDN daripada Bahagian Kepenjaraan, Antidadah dan RELA, Bahagian Pendaftaran Negara dan Pertubuhan, Bahagian Perancangan Strategik, Bahagian Perolehan, Bahagian Hal Ehwal Imigresen, Pejabat Pasukan Petugas Khas NIISe, Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Penjara Malaysia, dan Jabatan Pendaftaran Negara.

