Sukan Motocross: Lebih Banyak Litar, Kejohanan Mampu Cungkil Pelapis Pelumba Negara

January 18, 2022

LENGGONG: Penyediaan lebih banyak litar serta kerjasama terancang dengan penganjur sukan motocross amat diperlukan dalam usaha melahirkan lebih ramai pelapis pelumba negara dalam sukan itu.

Pelumba negara Khairul Afif Ghazali, 26, berkata dua faktor tersebut berupaya memajukan sukan itu sekali gus berpotensi besar melahirkan lebih ramai pelumba di peringkat antarabangsa, termasuk dalam kelas MotoGP.

“Dulu kita ada Motocross Series di beberapa negeri namun terhenti kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Kini ada penganjuran dan sirkit namun tidak banyak serta lebih bersifat kejohanan.

“Apabila lebih banyak litar diwujudkan, ia akan memberi peluang kepada pelumba untuk berlatih dan bersaing sekali gus melahirkan ramai pelumba negara,” katanya ketika ditemui Bernama selepas menyertai kejohanan motocross Mok Cun Track Day 2022 di Felda Lawin Utara, kira-kira 85 kilometer dari Ipoh, baru-baru ini.

Khairul Afif berkata lebih banyak penganjuran perlumbaan perlu diadakan di setiap negeri bagi mewujudkan kelainan serta cabaran tersendiri kerana setiap perlumbaan akan memberi pengalaman berbeza kepada semua pelumba.

Beliau kini memberi fokus menyertai kejohanan motocross di seluruh negara mewakili pasukan Benchos Motosport Racing Team selain berjinak-jinak dalam sukan SuperMoto yang turut mempunyai masa depan cerah bagi peminat sukan permotoran.

Dalam aksi di kejohanan Mok Cun Track Day 2022, Khairul Afif berjaya mendapat tempat ketiga keseluruhan dalam kategori Expert MX Open Final di belakang L. Darwin (Negeri Sembilan) dan Airil Zakaria (Johor).

Kira-kira 3,000 penonton disajikan dengan pelbagai aksi, stunt dan deruman motocross dari 600 pelumba seluruh negara termasuk dari Thailand yang bersaing dalam 14 kategori pada kejohanan dwitahunan itu.

Tumpuan turut terarah kepada seorang pelumba wanita mewakili Perak, Nor Shamira Nor Azahar, 27, yang memenangi kategori MX Women dari sembilan pelumba dan kemudiannya turut bersaing dalam kategori MX Novice bersama-sama pelumba lelaki namun gagal meraih tempat di podium.

“Saya menyertai sukan ini atas minat dan dorongan keluarga sejak berumur 12 tahun lagi dan dilatih ayah sendiri Nor Azahar Ismail yang juga seorang pelumba. Sukan ini memerlukan lebih banyak litar dan kejohanan untuk latihan, pendedahan dan persiapan diri, fizikal serta mental,” katanya.

Pegawai bank di sebuah bank di Ipoh itu sanggup membahagikan masa antara kerja dan minat demi mengejar cita-citanya sebagai seorang pelumba negara suatu hari nanti.

Sementara itu, Ahli Parlimen Lenggong Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata litar di kawasan tersebut akan diperbesarkan lagi bagi membolehkan lebih banyak kejohanan dianjurkan khususnya mencari wakil dari negeri Perak untuk diasah dan diberi pendedahan mewakili negara dan juga Asia kelak. – Bernama

Sumber: https://www.utusanborneo.com.my/2022/01/18/sukan-motocross-lebih-banyak-litar-kejohanan-mampu-cungkil-pelapis-pelumba-negara

Bernama: https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2044350

https://www.shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/10/logo_white1.png
Hakcipta Terpelihara © 2008 - 2022 Dr. Shamsul Anuar Nasarah.
https://www.shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/10/logo_white1.png
Hakcipta Terpelihara © 2020 Shamsul Nasarah.
Contact
+605 767 9055
Pusat Khidmat Ahli Parlimen Lenggong, 52A, Jalan Alang Iskandar, 33400 Lenggong, Perak.
Popular Links
How Can You Help