Songket Jabatan Penjara Malaysia Curi Tumpuan Di Sambutan Hari Malaysia Paris 2026
PARIS – Songket keluaran Jabatan Penjara Malaysia menjadi tarikan utama apabila diperaga dalam pertunjukan fesyen sempena Program Malaysia Day – Paris Celebration 2026 yang berlangsung di ibu negara Perancis baru-baru ini.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah yang turut hadir pada majlis tersebut berkata, sambutan yang diadakan amat meriah dan berjaya merapatkan hubungan sesama rakyat Malaysia yang berada di Perancis.
“Sambutan sangat meriah dan melaluinya dapat merapatkan hubungan rakyat Malaysia yang berada di Perancis,” kata Ahli Parlimen Lenggong itu.
Program tersebut dianjurkan oleh Pejabat Kedutaan Besar Malaysia di Paris dan turut dihadiri oleh Duta Besar Malaysia ke Perancis, Datuk Eldeen Husaini Mohd Hashim serta Diaspora Malaysia Paris. Pelbagai acara diadakan sepanjang majlis berkenaan termasuk pertunjukan fesyen yang menampilkan koleksi songket hasil tangan warga Jabatan Penjara Malaysia.
Penampilan songket Jabatan Penjara di pentas antarabangsa ini bukanlah kali pertama. Pada Februari 2026, Kedutaan Besar Malaysia di Paris telah menganjurkan majlis makan malam bagi menyambut delegasi Jabatan Penjara Malaysia yang hadir dalam program “Green, Stitch, Connect @ Paris: Progression for Sustainable Fashion Technology and Innovation Through First Hand Observation”. Kementerian Dalam Negeri juga telah mempersembahkan koleksi songket penjara di Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW) 2026 pada Ogos lalu.
Sambutan Hari Malaysia di Paris ini merupakan sebahagian daripada siri program sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-69 dan Hari Malaysia ke-63 bertema “Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati” yang turut disambut oleh kedutaan-kedutaan Malaysia di seluruh dunia.

