Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe) Perkukuh Pengurusan Sempadan Negara

March 6, 2026

KUALA LUMPUR – Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe) yang diperkenalkan kerajaan bukanlah satu sistem tambahan, sebaliknya merupakan platform digital bersepadu yang menyatukan pelbagai fungsi keimigresenan sedia ada ke dalam satu ekosistem yang lebih menyeluruh dan moden.

Menurut Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah, NIISe dibangunkan bagi mempertingkatkan kecekapan operasi kawalan sempadan negara, memperkukuh pengurusan data serta analitik risiko secara masa nyata, selaras dengan cabaran keselamatan global dan peningkatan pergerakan rentas sempadan.

“Pelaksanaan NIISe bukan pertindihan sistem, sebaliknya memperkukuh dan menyelaras fungsi sedia ada dalam satu kerangka yang lebih responsif dan mampan,” katanya ketika menjawab soalan di Dewan Negara.

Aplikasi mudah alih MyNIISe yang merupakan sebahagian daripada ekosistem ini akan digunakan oleh warganegara dan pengembara asing untuk urusan pelepasan imigresen di pintu masuk negara serta perkhidmatan keimigresenan lain secara berperingkat.

Beliau turut menegaskan bahawa penggunaan MyNIISe tidak diwajibkan kepada semua pengguna pada masa ini. Kerajaan masih mengekalkan pelbagai kaedah pelepasan imigresen seperti penggunaan pasport fizikal di kaunter, autogate, dan pengesanan biometrik pada masa akan datang, bagi memastikan rakyat dan pengembara asing mempunyai pilihan yang sesuai.

Mengenai aplikasi MyBorderPass, beliau menjelaskan bahawa ia merupakan langkah sementara melalui pendekatan Proof of Concept (POC) untuk menangani kesesakan di pintu masuk utama negara. Fungsi berkaitan akan diintegrasikan secara berperingkat ke dalam ekosistem NIISe.

Menjawab soalan tambahan mengenai maklumat keperluan visa, beliau memaklumkan bahawa sistem NIISe menyediakan data terkini termasuk maklumat negara yang memerlukan visa, bagi memudahkan perancangan perjalanan rakyat Malaysia ke luar negara.

Dalam perkembangan berkaitan, kerajaan turut mempertimbangkan cadangan untuk memperkenalkan sistem Electronic Travel Authorization (ETA) seperti yang dilaksanakan di UK dan Australia, bagi memudahkan urusan pengembara asing dan mempercepatkan proses pelepasan imigresen di Malaysia.

https://www.shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/10/logo_white1.png
Hakcipta Terpelihara © 2008 - 2026 Dr. Shamsul Anuar Nasarah.
https://www.shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/10/logo_white1.png
Hakcipta Terpelihara © 2020 Shamsul Nasarah.
Contact
+605 767 9055
Pusat Khidmat Ahli Parlimen Lenggong, 52A, Jalan Alang Iskandar, 33400 Lenggong, Perak.
Popular Links
How Can You Help