Shamsul Raikan Tahun Baru Cina Bersama Komuniti Lenggong
LENGGONG – Program Ramah Mesra & Sambutan Tahun Baru Cina 2026 berlangsung meriah di Dewan Kota Tampan, Kampung Baru Kota Tampan, Lenggong pada 5 Februari lalu. Acara ini dianjurkan sebagai inisiatif untuk mengeratkan hubungan antara pemimpin dan masyarakat setempat, khususnya sempena perayaan Tahun Baru Cina.
Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah, Ahli Parlimen Lenggong, turut hadir memeriahkan program tersebut. Beliau menyampaikan sumbangan ampau kepada lebih 180 penerima pada petang itu sebagai tanda penghargaan dan sokongan kepada komuniti Cina di kawasan berkenaan.
Menurut Shamsul Anuar, program ini merupakan yang pertama diadakan di kawasan Parlimen Lenggong bagi sambutan Tahun Baru Cina tahun ini. Beliau memaklumkan terdapat tiga lagi program seumpama ini yang akan dilaksanakan sebelum acara kemuncak Ramah Mesra 2YB & CNY 2026 yang dijadualkan berlangsung pada 13 Februari di Pekan Lenggong.
Penganjuran program seperti ini bukan sahaja dapat memupuk semangat perpaduan dan keharmonian antara kaum, malah memberi peluang kepada masyarakat untuk berinteraksi secara langsung dengan wakil rakyat mereka. Ia juga menjadi platform untuk mendengar pandangan serta keperluan penduduk setempat.
Shamsul Anuar turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program tersebut. Beliau berharap sambutan Tahun Baru Cina kali ini dapat diraikan dengan penuh kegembiraan dan membawa keberkatan kepada seluruh masyarakat di Lenggong.

