Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah, telah mengadakan Lawatan Kerja Rasmi dan Program Ramah Mesra bersama warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Sabah di Auditorium, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah hari ini.
Lawatan ini bertujuan memperkukuh hubungan strategik antara Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan PDRM, di samping meninjau kesiapsiagaan keselamatan negeri Sabah, khususnya menjelang Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah ke-17 yang bakal diadakan kelak.
Dalam sesi taklimat yang dikendalikan oleh YDH SAC Datuk Abdul Fuad bin Abdul Malek, Ketua Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Kontinjen Sabah, dua fokus utama dibentangkan iaitu:
1️⃣ Situasi keselamatan semasa di negeri Sabah, dan
2️⃣ Persiapan keselamatan menghadapi PRU DUN Sabah ke-17.
Shamsul turut menzahirkan penghargaan kepada kepimpinan dan warga PDRM Sabah atas dedikasi tinggi dalam memastikan keselamatan, ketenteraman awam serta kestabilan negeri terus terpelihara, khususnya di kawasan sempadan dan perairan pantai timur.
Beliau menegaskan bahawa KDN sentiasa memberi sokongan padu kepada PDRM dalam memperkukuh kesiapsiagaan pasukan keselamatan serta memastikan keutuhan dan ketenteraman awam kekal terjamin di bawah agenda Malaysia MADANI.
Turut hadir YDH CP Datuk Jauteh Dikun, Pesuruhjaya Polis Sabah, bersama kepimpinan kanan PDRM Kontinjen Sabah serta pegawai-pegawai kanan Kementerian Dalam Negeri.



