GERIK – Dalam program Ramah Mesra Bersama Ibu Tunggal yang berlangsung di Kampung Air Panas, Gerik pada 6 Mac 2026, Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah, telah meluangkan masa bersama komuniti setempat dalam suasana penuh mesra dan prihatin.
Sementara program berlangsung, Ketua Kampung Air Panas telah membawa Shamsul Anuar meninjau beberapa kawasan di kampung tersebut yang dikenal pasti mempunyai pokok-pokok berisiko dan boleh membahayakan keselamatan penduduk. Tindakan ini diambil selepas menerima aduan dan maklum balas daripada penduduk yang bimbang dengan keadaan pokok-pokok yang berpotensi tumbang atau menyebabkan kemalangan, terutamanya ketika musim hujan dan ribut.
Shamsul Anuar dalam kenyataannya memberi jaminan bahawa tindakan segera akan diambil untuk menebang pokok-pokok yang merbahaya tersebut. Beliau menegaskan bahawa keselamatan dan kesejahteraan penduduk sentiasa menjadi keutamaan, dan pihak berkuasa berkaitan akan dimaklumkan untuk mengambil langkah sewajarnya dalam masa terdekat.
Program Ramah Mesra Bersama Ibu Tunggal di Kampung Air Panas turut mendapat sambutan baik daripada golongan ibu tunggal dan penduduk kampung. Selain sesi ramah mesra, pelbagai isu dan keperluan masyarakat turut dibincangkan secara terbuka, membolehkan suara komuniti didengari secara langsung oleh wakil rakyat.


