Temujanji Rakyat Parlimen Lenggong Di Kg Kuala Kenderong
GERIK – Lebih 70 penduduk hadir dalam program Temujanji Rakyat Parlimen Lenggong yang berlangsung di Kampung Kuala Kenderong, Gerik pada 25 Januari 2026.
Program yang bermula jam 9.30 pagi dan berlangsung selama lebih dua jam itu memberi ruang kepada penduduk untuk membangkitkan pelbagai isu, termasuk kebajikan, pembangunan pendidikan, kesihatan dan keperluan lain. Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah, berkata beliau menyantuni setiap aduan dan berusaha mencari penyelesaian terbaik untuk semua perkara yang dibangkitkan.
Menurut beliau, tindakan lanjut bagi sesetengah isu telah diambil segera oleh beliau dan pegawai-pegawainya bagi memastikan kebajikan rakyat sentiasa terpelihara. “Kita cari rakyat, jangan tunggu rakyat cari kita,” tegasnya, menzahirkan komitmen untuk terus turun padang mendekati masyarakat.
Shamsul Anuar turut menegaskan bahawa tidak semua orang berpeluang ke pejabat wakil rakyat untuk menyuarakan masalah, justeru amalan turun ke lapangan menjadi tradisi yang diteruskan bagi memastikan tiada golongan yang terpinggir.
Sambutan yang diterima daripada penduduk membuktikan keperluan program seperti Temujanji Rakyat diteruskan sebagai platform untuk mendengar suara rakyat dan menyelesaikan isu-isu yang dihadapi secara langsung.

