Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah selesai menghantar borang bertanding di Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia (PWTC), pagi tadi.
“Mengambil keberkatan bulan Syaaban dan Hari Jumaat. Hari ini 24 Februari 2023 bersamaan 3 Syaaban 1444H, saya telah menyerahkan borang pemilihan UMNO, sebagai tanda saya menawarkan diri bertanding mempertahankan jawatan sebagai Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Malaysia,” kata Shamsul menerusi hantaran di Facebooknya.
Menurut Shamsul, beliau yang sememangnya ahli MKT UMNO ketika ini bertanding untuk jawatan yang sama sekaligus tekad mempertahankan jawatan tersebut bagi sesi 2023-2026.
“Kepada pimpinan, ahli UMNO di semua peringkat yang saya hormati dan kasihi. Saya memahami dan menghormati pandangan dan permintaan semua pihak.
“Bagaimanapun setelah membuat pertimbangan mendalam dan sewajarnya. Saya memutuskan untuk mempertahankan kedudukan saya sebagai Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Malaysia.
“Maka dengan rendah diri, saya sekali lagi menawarkan diri dan ingin mempertahankan jawatan sebagai Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Malaysia bagi sesi 2023-2026,” jelas Shamsul.
Beliau juga menegaskan perjuangan yang akan diteruskan ini adalah demi berbakti kepada parti terutamanya pada Agama, Bangsa dan Tanah Air.
Dalam masa yang sama, Shamsul juga menyeru kepada semua pihak untuk memberikan sokongan serta bantuan dalam merealisasikan hasratnya yang ingin terus berbakti kepada parti.
“Paling utama kesetiaan saya tetap kepada parti dan saya hanya ingin berkhidmat serta berbakti. Sekali lagi saya mohon sokongan semua.
“Ikrar saya selagi perjuangan parti tidak lari dari prinsip dan ideologinya, saya akan lakukan apa saja demi parti,” ujarnya lagi.
Sumber: https://www.bnnewsonline.com/shamsul-anuar-tawar-diri-bertanding-mkt-umno/
Berita Harian: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2023/02/1068889/shamsul-anuar-pertahan-jawatan-mkt-umno
Utusan: https://www.utusan.com.my/nasional/2023/02/shamsul-nasarah-pertahan-ahli-mt-umno/
Malaysiapost: https://malaysiapost.com.my/2023/02/24/shamsul-anuar-pertahan-jawatan-mkt-umno/?utm_source=rss&utm_medium=rss&utm_campaign=shamsul-anuar-pertahan-jawatan-mkt-umno