AHLI Parlimen Lenggong, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah menyambut baik jika jawatan Timbalan Speaker Dewan Rakyat diberikan kepada pembangkang.
Malah, beliau menyifatkan ia satu kematangan dalam landskap politik negara jika Ahli Parlimen pembangkang diberi peluang dilantik sebagai Timbalan Speaker Dewan Rakyat.
Bagaimanapun, Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno itu tidak menafikan Barisan Nasional (BN) harus bijaksana dan berwaspada sekiranya ditakdirkan Ahli Parlimen pembangkang terutama daripada DAP menjawat jawatan berkenaan.
“Betul. Perlu ada kematangan dalam berpolitik. Bagaimanapun DAP tetap tidak saya percayai. Kerana hanya cara mereka berubah. Namun ideologi dan matlamat DAP tetap sama seperti dahulu.
“Justeru Umno BN mesti terus berwaspada dengannya. Dan bijaksana dalam berpolitik,” katanya di Facebook hari ini.
Khamis lalu, Ahli Parlimen Teluk Intan, Nga Kor Ming mengesahkan beliau dicalonkan oleh Pakatan Harapan (PH) untuk jawatan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat.
Pemilihan tersebut akan diadakan pada Selasa berikutan penyandangnya Datuk Azalina Othman Said meletak jawatan baru-baru ini.
Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan pula menjadi calon blok kerajaan. – Malaysiapost