Susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak permohonan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berhubung Titah Adendum untuk menjalani hukuman penjara di bawah tahanan rumah, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah menyifatkan hantaran yang dibuat oleh Ahli Parlimen DAP, Yeo Bee Yin sebagai biadab.
“BIADAP. Sebab itu susah untuk dihormati dan dipercayai kerana sikap dan pendirian tidak pernah berubah. Belajarlah hormati orang lain,” tegas beliau.
Dalam keputusan yang dibacakan Hakim Mahkamah Tinggi, Alice Loke Yee Ching, didapati Titah Adendum berkenaan tidak dibincangkan atau diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan ke-61 pada 29 Januari tahun lalu. Hakim turut menegaskan bahawa Yang di-Pertuan Agong ialah seorang Raja Berperlembagaan dan menjalankan kuasa serta fungsinya selaras dengan peruntukan Perlembagaan, termasuk dalam pelaksanaan kuasa prerogatif pengampunan.
UMNO dengan jelas mengecam keras tindakan Yeo Bee Yin yang didakwa memuat naik hantaran berunsur sindiran berhubung keputusan mahkamah berkaitan Titah Diraja, sekali gus disifatkan sebagai biadab dan tidak menghormati institusi Raja-Raja Melayu. Perbuatan itu amat dikesali kerana menyentuh kuasa pengampunan Raja-Raja Melayu, iaitu satu-satunya kuasa prerogatif yang termaktub secara jelas dalam Perlembagaan Persekutuan.
DAP sebelum ini menggunakan Titah Yang di-Pertuan Agong sebagai sandaran ketika pembentukan kerajaan, namun apabila keputusan mahkamah tidak memihak, titah yang sama diperkecilkan dan diraikan seolah-olah tiada nilai kenegaraan.
Terdahulu, Yeo Bee Yin memuat naik satu hantaran dipercayai merujuk kepada keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak permohonan semakan kehakiman Najib berkaitan Titah Adendum untuk membenarkan bekas perdana menteri itu menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah. “Satu lagi sebab untuk meraikan hujung tahun ini,” tulis Bee Yin dalam hantaran berkenaan, yang dimuat naik beberapa jam selepas keputusan mahkamah diumumkan.


