Sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan Dewan Negara, Sesi Kamar Khas Dewan Rakyat & Bacaan Kali Ke-2 RUU Pendaftaran Negara Pindaan 2025
SESI PERTANYAAN BAGI JAWAB LISAN DEWAN NEGARA, SESI KAMAR KHAS DEWAN RAKYAT DAN BACAAN KALI YANG KEDUA RANG UNDANG-UNDANG PENDAFTARAN NEGARA (PINDAAN) 2025 DI DEWAN RAKYAT PADA MESYUARAT KEDUA PENGGAL KEEMPAT PARLIMEN KELIMA BELAS.
KUALA LUMPUR, 26 Ogos 2025 – YB Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar bin Nasarah, Timbalan Menteri Dalam Negeri menjawab pertanyaan daripada YB Senator Puan Norhasmimi binti Abdul Ghani berkenaan dengan langkah kerajaan untuk menangani sindiket akaun mule yang semakin meningkat dan insentif khusus atau perlindungan yang disediakan kepada pemberi maklumat (whistleblower) yang membantu membongkar sindiket penipuan (scam) di Dewan Negara, hari ini.
YB Timbalan Menteri Dalam Negeri turut menjawab pertanyaan daripada YB Senator Datuk Anna Bell @ Suzieana binti Perian berhubung dengan strategi pihak berkuasa bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk mengawal dan membenteras penyeludupan senjata api ke dalam negara memandangkan berlaku peningkatan kes jenayah melibatkan senjata api yang sangat membimbangkan dan mampu mengancam nyawa rakyat Malaysia.
Pada sesi Kamar Khas Dewan Rakyat, YB Timbalan Menteri Dalam Negeri telah menjawab pertanyaan daripada YB Puan Hajah Rodziah binti Ismail, Ahli Parlimen Ampang berkenaan dengan status pemastautin tetap dan hak bekerja buat balu, isteri mangsa penderaan dan janda bukan warganegara kepada warganegara Malaysia namun mempunyai hak penjagaan anak-anak warganegara.
Selain itu, Bacaan Kali Yang Kedua Rang Undang-undang Pendaftaran Negara (Pindaan) 2025 telah disempurnakan oleh YB Timbalan Menteri Dalam Negeri di Dewan Rakyat dan diikuti dengan sesi perbahasan yang melibatkan empat orang pembahas pada sesi hari ini.
Turut hadir di Parlimen Malaysia, pegawai-pegawai kanan KDN daripada Bahagian Keselamatan dan Ketenteraman Awam, Bahagian Perancangan Strategik, Pejabat Penasihat Undang-undang, Bahagian Pendaftaran Negara dan Pertubuhan, Bahagian Hal Ehwal Imigresen, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia dan Jabatan Pendaftaran Negara.
#KeselamatanTanggungjawabBersama
#MalaysiaMADANI
#KDNMADANI
#AIforKDNKDNforAI
#KementerianDalamNegeri

