Sesi Menjawab & Penggulungan Laporan SUHAKAM 2024 Oleh KDN
KUALA LUMPUR – Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah tampil menjawab serta menyampaikan ucapan penggulungan bagi pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) berhubung Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) 2024 di Dewan Rakyat pada Rabu.
Menerusi sesi tersebut, Shamsul Anuar memberikan penjelasan terhadap persoalan-persoalan yang dibangkitkan oleh ahli-ahli Dewan berhubung laporan SUHAKAM, sekali gus menegaskan komitmen KDN dalam memperkukuh tadbir urus, melindungi kepentingan rakyat serta memastikan keseimbangan antara pemeliharaan hak asasi manusia dan keselamatan negara.
KDN merupakan kementerian yang bertanggungjawab ke atas pelbagai agensi penguatkuasaan termasuk Polis Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Penjara Malaysia, Jabatan Pendaftaran Negara serta Agensi Antidadah Kebangsaan yang kesemuanya mempunyai kaitan langsung dengan isu-isu hak asasi yang dilaporkan oleh SUHAKAM.
Pembentangan dan perbahasan laporan tahunan SUHAKAM di Dewan Rakyat merupakan tanggungjawab yang termaktub di bawah Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999 (Akta 597).

