Sesi Libat Urus KDN Bersama Badan Pengurusan Keharmonian Agama

October 9, 2023

Hari ini Sesi Libat Urus Kementerian Dalam Negeri Bersama Badan Pengurusan Keharmonian Agama. Ini adalah siri libat urus ke 5 dan terakhir yang dilaksanakan oleh Kementerian Dalam Negeri bagi mendapatkan gambaran keseluruhan berhubung urusan kawalselia penerbitan yang mengandungi kalimah “Allah” di seluruh Negara.

YB Datuk Seri Saifuddin Nasution bin Ismail, Menteri Dalam Negeri telah menyempurnakan sesi ini dan turut dihadiri YB Datuk Aaron Ago Dagang, Menteri Perpaduan Negara dan YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im bin Haji Mokhtar, Menteri Agama.

Sebagaimana biasa seperti sesi sebelum ini, peserta diberikan ruang untuk membincangkan mengenai pengurusan penerbitan yang mengandungi kalimah “Allah” khususnya hal ehwal berkaitan kawalselia penerbitan berkenaan.

Dalam sesi ini para jemputan diberikan ruang memberikan cadangan mengenai penambahbaikan Arahan Pentadbiran KDN agar ianya dapat memenuhi ekspetasi masyakarat umum dengan tertib dan harmoni selaras dengan dasar yang akan ditetapkan oleh Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) dan Majlis Raja-Raja serta usaha Kerajaan memperkukuh keselamatan Negara, kemaslahatan ummah, memelihara kedudukan Institusi Diraja, dan perpaduan masyarakat majmuk di Malaysia.

Kementerian Dalam Negeri menjunjung titah KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong agar Kerajaan mengharmonikan situasi semasa dan pada masa yang sama meletakkan penggunaan kalimah “Allah” pada konteks yang betul dengan mengambil kira keselamatan negara dan kemaslahatan ummah serta kedudukan Baginda serta Raja-Raja Melayu yang lain sebagai Ketua Agama Islam.

Selaras dengan itu, Kementerian Dalam Negeri mengadakan siri libat urus bersama pihak-pihak berkepentingan untuk mendapatkan cadangan dan pandangan secara kolektif dalam proses memperkemas dan menambahbaik Arahan Pentadbiran KDN.

Kementerian Dalam Negeri telah mengadakan siri libat urus bersama pihak-pihak berkepentingan yang dimulakan bersama:

a. Cendekiawan Islam dan Asatizah pada 8 Jun 2023;
b. Ahli Akademik (Sosiologi dan Keselamatan Awam) pada 18 Julai 2023;
c. Badan Perundangan Sivil dan Syariah pada 17 Ogos 2023;
d. Badan Pengurusan Syariah Malaysia pada 7 September 2023; dan
e. Badan Pengurusan Keharmonian Agama pada 9 Oktober 2023.

Hasil daripada kelima-lima siri libat urus tersebut akan dijadikan input bagi Kementerian Dalam Negeri dalam memperkemas Arahan Pentadbiran KDN selaras dengan dasar yang akan ditetapkan oleh MKI dan Majlis Raja-Raja untuk dibentangkan kepada Jemaah Menteri kelak.

Kementerian Dalam Negeri ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam siri libat urus ini dengan bersama-sama mendukung tanggungjawab untuk melandaikan dan menoktahkan isu penggunaan kalimah “Allah” dalam penerbitan di Malaysia mulai 8 Jun 2023 hingga kini.

Kementerian Dalam Negeri sekali lagi ingin menyatakan komitmen dalam menjaga keselamatan dan ketenteraman awam melalui tindakan penyeliaan dan kawalan terhadap penerbitan yang memudaratkan atau mungkin memudaratkan ketenteraman awam dan kepentingan Negara dari semasa ke semasa secara berterusan selaras dengan peruntukan di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 serta Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan.

Saya turut bersama hadir disamping pegawai-pegawai kanan Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Perpaduan Negara, Kementerian Komunikasi dan Digital, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), para agamawan, dan pemimpin-pemimpin agama bukan Islam.

https://www.shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/10/logo_white1.png
Hakcipta Terpelihara © 2008 - 2023 Dr. Shamsul Anuar Nasarah.
https://www.shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/10/logo_white1.png
Hakcipta Terpelihara © 2020 Shamsul Nasarah.
Contact
+605 767 9055
Pusat Khidmat Ahli Parlimen Lenggong, 52A, Jalan Alang Iskandar, 33400 Lenggong, Perak.
Popular Links
How Can You Help