Saya Tidak Lari Ketika Diperlukan Parti

March 13, 2023

KUALA LUMPUR – Tindakan Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah yang meletakkan jawatan sebagai Menteri Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) pada Ogos 2021 membuktikan kesetiaannya kepada UMNO tidak berbelah-bahagi.

Apabila UMNO mengarahkan beliau meninggalkan kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini, Shamsul tidak teragak-agak melepaskan pangkat dan kesenangan, malah akur kepada arahan parti dengan serta-merta.

Pengorbanan beliau ini bukan sahaja bukti kesetiaan, bahkan wajar dicontohi semua ahli dan menjadi panduan kepada perwakilan UMNO membuat pilihan pucuk pemimpin akan datang dalam Pemilihan UMNO 2023.

Shamsul yang menawarkan diri bertanding dan mempertahankan jawatan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang digalasnya sejak dua penggal lalu mengakui bahawa masih banyak perkara yang perlu beliau lakukan.

“Saya mahu UMNO kekal menjadi parti orang Melayu dan Bumiputera dalam negara ini. Ideologi dan falsafah perjuangannya mesti dipertahan serta diperkukuhkan.

“UMNO mesti menjadi parti penting kepada Melayu Bumiputera dan membela kepentingan semua kaum sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan. Sebab itu, saya mesti berada dalam pimpinan parti supaya saya mempunyai ruang untuk mempertahankan UMNO.

“Dalam situasi dan cabaran politik hari ini menyebabkan saya ingin terus berbakti kepada parti yang saya cintai. Saya tidak mahu lari ketika parti perlukan tenaga membina UMNO semula,” katanya kepada MalaysiaGazette, baru-baru ini.

Penyertaan Shamsul dalam Pemilihan UMNO 2023 bukan kerana mengejar jawatan, sebaliknya mahu memulihkan imej parti dan mengembalikan sokongan rakyat kepada parti Melayu itu.

“Justeru, demi agama, bangsa dan tanah air ini, selagi prinsip dan ideologi UMNO kekal tidak berubah, saya akan lakukan apa sahaja demi perjuangan UMNO.

“Kita mesti menjadi pemimpin yang setia kepada parti, berprinsip dan mengutamakan parti dalam perjuangan. Semua ini penting agar semangat dan setia pada perjuangan dapat kita terap dengan kukuh dalam jiwa perjuangan setiap ahli UMNO.

“Sebagai pemimpin, kita mesti menjadi contoh untuk diteladani. Apa yang saya ingin tawarkan ialah memastikan perkhidmatan terbaik untuk parti. Kita mesti berkorban untuk parti demi agama, bangsa dan tanah air,” katanya.

PEMILIHAN UMNO KEMBALIKAN SOKONGAN RAKYAT

Ditanya tentang barisan kepimpinan baharu kali ini mampu mengembalikan sokongan rakyat khususnya anak muda kepada UMNO, beliau berkata, ia bergantung sikap kerjasama sebagai satu pasukan.

“Mampu atau tidak mengembalikan sokongan rakyat khususnya orang muda, pada UMNO tidak boleh dilakukan secara berseorangan, kita mesti lakukan secara bersama.

“Secara peribadi, saya yakin ia mampu dilakukan, namun kita mesti memahami keadaan sudah berubah, situasinya tidak sama lagi.

“Pendekatan atau cara UMNO mesti berubah dan berbeza sesuai dengan perubahan yang telah berlaku,” katanya.

Tambahnya, Pemilihan UMNO 2023 adalah platform terbaik kepada ahli untuk memilih barisan pimpinan di semua peringkat yang mampu mengembalikan sokongan rakyat kepada parti ini.

“Pilihlah pemimpin yang mempunyai nilai diinginkan rakyat seperti pemimpin yang baik, amanah, diyakini, dan sebagainya.

“Imej UMNO perlu baik di mata rakyat, kerana itu pasukan pemimpin yang mahu dibentuk nanti akan dapat mengembalikan semula sokongan rakyat dan orang muda kepada UMNO.

“Pasukan ini juga yang mampu mempertahankan UMNO dalam apa juga situasi pun,” katanya.

Beliau tidak terkejut apabila ramai pimpinan menawarkan diri dalam Pemilihan UMNO 2023 bukan kerana sudah menjadi kerajaan, sebaliknya kerana mahu memberikan sumbangan dan berkhidmat kepada parti.

“Saya yakin di antara faktor utama ramai ingin menawarkan diri kerana semua ingin berkhidmat kepada parti di pelbagai peringkat. Ini baik kepada parti,” katanya.

IMEJ UMNO DALAM KERAJAAN PERPADUAN

Beliau YAKIN imej UMNO boleh ditambah baik apabila menjadi sebahagian daripada pembentukan Kerajaan Perpaduan selepas sokongannya terjejas pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Apabila Kerajaan Perpaduan ini stabil dan kuat, ia akan memberi ruang untuk UMNO fokus kepada usaha memulihkan imej dan menarik semula sokongan rakyat kepada UMNO.

“UMNO tidak lagi membuang masa, sebaliknya boleh FOKUS memperkukuhkan parti. Malah saya yakin selepas pembentukan pimpinan baharu, presiden akan memperjelaskan dengan lebih terperinci hala tuju parti.

“Selepas ini, tumpuan UMNO di semua peringkat boleh ke arah perkukuhkan parti tanpa melayani kecelaruan politik yang merugikan rakyat dan negara seperti sebelum Kerajaan Perpaduan,” katanya.

DEMOKRASI DALAM UMNO

Ditanya tentang semangat demokrasi masih subur dalam UMNO dan boleh diterjemahkan dalam pemilihan kali ini, beliau menegaskan ia tidak pernah berkubur meskipun pelbagai kontroversi menyelubungi parti itu.

“Bilangan calon yang bertanding di peringkat pusat, bahagian dan cawangan yang begitu ramai adalah bukti demokrasi dalam UMNO tetap subur.

“Ia sama sekali menolak anggapan pelbagai pihak demokrasi dalam UMNO telah mati. Kemeriahan majlis pengenalan calon pemilihan UMNO yang dibuat di setiap negeri juga bukti semua ini,” katanya.

Kurang empat hari sebelum tarikh pengundian pada Sabtu ini, beliau berharap pemilihan kali ini dapat mengembalikan UMNO dan akar umbi lebih kuat dan dihormati sebagaimana sebelumnya.

“Kekuatan itu BERMAKSUD UMNO diterima bukan sahaja oleh ahli tetapi yang penting ialah rakyat. Penerimaan rakyat terhadap UMNO penting kerana rakyatlah penentu kepada masa depan UMNO.

“Maka, pimpinan yang dipilih nanti diharap adalah barisan yang benar-benar pejuang tulen parti, agar mereka mampu pertahankan parti dan tidak ada lagi perpecahan pimpinan dalaman yang merugikan parti.

“UMNO tidak boleh memaparkan imej yang buruk di mata rakyat akibat ketidaksepakatan dalam kalangan pimpinan. Jangan ada lagi pemimpin yang tidak mengutamakan parti dalam perjuangannya.

“Agenda peribadi atau agenda parti lain tidak boleh lagi wujud dalam pimpinan baharu parti. Harapan saya UMNO akan dilihat jitu dan padu selepas ini,” katanya. – MalaysiaGazette

Sumber: https://malaysiagazette.com/2023/03/13/saya-tidak-lari-ketika-diperlukan-parti-shamsul-anuar-nasarah/

BN News Online: https://www.bnnewsonline.com/saya-tidak-lari-ketika-parti-memerlukan-shamsul-anuar/

https://www.shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/10/logo_white1.png
Hakcipta Terpelihara © 2008 - 2024 Dr. Shamsul Anuar Nasarah.
https://www.shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/10/logo_white1.png
Hakcipta Terpelihara © 2020 Shamsul Nasarah.
Contact
+605 767 9055
Pusat Khidmat Ahli Parlimen Lenggong, 52A, Jalan Alang Iskandar, 33400 Lenggong, Perak.
Popular Links
How Can You Help