KUALA LUMPUR: Sistem pemeriksaan awal penumpang (APSS) yang dijadual beroperasi Disember ini membolehkan saringan penumpang dilakukan lebih awal sekali gus meningkatkan keselamatan perjalanan udara.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah, berkata dengan sistem itu juga, penguatkuasaan imigresen dapat dilakukan dengan lebih awal dan berkesan untuk mengenalpasti pelancong asing tergolong berisiko tinggi, termasuk penyalahgunaan pas dan visa.
“Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang melaksanakan APSS yang dijadual beroperasi mulai Disember ini. Melalui sistem ini, tapisan dan penilaian awal terhadap pelawat asing dapat dilaksanakan sebelum mereka tiba di Malaysia.
“Ia bagi memastikan hanya individu mempunyai kriteria keselamatan dan kelayakan dibenar masuk negara ini.
“Jadi pelaksanaan APSS dijangka meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan imigresen dengan pengesanan awal pelancong berisiko tinggi serta mengurangkan risiko penyalahgunaan Pas Lawatan Sosial (PLS) serta kemudahan visa jangka panjang,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Manndzri Nasib (BN-Tenggara) yang ingin mengetahui mengenai penambahbaikan dilaksanakan KDN sebelum pelawat asing tiba di pintu masuk negara.
Sementara itu, menjawab soalan tambahan Mohd Hasnizan Harun (PN-Hulu Selangor) mengenai pelaksanaan kawalan keselamatan melalui sistem bersepadu, Shamsul Anuar berkata, semua maklumat peserta program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) direkodkan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dan dihubungkan dengan Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs).
Katanya, tapisan keselamatan peserta pula diwajibkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebelum kelulusan diberikan.
“Program MM2H dilaksanakan dengan kawalan keselamatan yang ketat melalui sistem bersepadu MOTAC.
“Semua maklumat peserta termasuk prinsipal dan tanggungan direkod dalam pangkalan data yang berintegriti serta memenuhi keperluan keselamatan negara.
“Hanya ejen berdaftar dengan MOTAC dibenarkan menguruskan permohonan dan urusan peserta MM2H,” katanya.
Maklumat ejen ini turut disimpan dalam sistem bagi tujuan pemantauan bagi memastikan urusan dijalankan secara sah dan berterusan.
Utusan : https://www.utusan.com.my/terkini/2025/10/parlimen-sistem-apss-mula-beroperasi-disember-ini/


