Sambutan Hari Pahlawan 2026, Peringati Tragedi Ulu Legong
PUTRAJAYA – Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah bersama isteri, Datin Hamisah Hussin hadir pada Sambutan Hari Pahlawan 2026 yang berlangsung di Dataran Pahlawan Putrajaya hari ini.
Sempena sambutan tersebut, Shamsul Anuar turut memperingati peristiwa berdarah pada 29 Oktober 1981 di kawasan Ulu Legong, Baling, Kedah apabila Markas Taktikal Kompeni B 22 RAMD Ulu Lenggong dan anggota Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) diserang pengganas komunis yang mengorbankan tujuh anggota tentera.
“Peristiwa ini membuktikan betapa keamanan negara itu penting. Pengorbanan perajurit negara amat besar jasanya,” kata beliau.
Beliau turut mendoakan agar tujuh perwira yang terkorban dalam peristiwa tersebut ditempatkan oleh Allah SWT bersama golongan yang beriman dan beramal soleh.
Kehadiran Timbalan Menteri bersama isteri pada sambutan ini mencerminkan penghormatan yang tinggi terhadap jasa dan pengorbanan pahlawan negara yang telah mempertaruhkan nyawa demi keamanan serta kedaulatan negara.
Sambutan Hari Pahlawan 2026 yang bertemakan “Mengenang Jasa, Mengukuh Pertahanan” turut menampilkan persembahan pantomim khas mengenai Ops Ulu Legong sebagai penghormatan kepada tujuh perwira yang gugur.

