Sambutan Hari Guru & Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Pendidikan Daerah Hulu Perak

May 30, 2022

PERKARA PENTING DALAM UCAPAN SAYA SEMPENA HARI GURU & PENYAMPAIAN ANUGERAH PERKHIDMATAN CEMERLANG PENDIDIKAN DAERAH HULU PERAK.

Meskipun berhadapan dengan situasi Covid-19, peranan para guru tetap tidak terhalang malah makin mencabar apabila keadah pengajaran tidak lagi dilaksanakan secara bersemuka sebaliknya para guru perlu mengadaptasi dengan kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR). Pelbagai cabaran dan dugaan yang terpaksa dihadapi oleh seorang guru dalam memastikan tanggungjawabnya menyampaikan ilmu kepada pelajar antaranya capaian internet yang tidak kuat, kekurangan peranti pintar dan sebagainya. Kita dapat lihat pengorbanan seorang guru yang sentiasa peka dan kreatif melaksanakan keadah pembelajaran dalam talian yang merupakan norma baharu suatu ketika dahulu dalam membuat pembelajaran tersebut lebih menarik dan lebih mudah difahami oleh para pelajar.

Dengan tema “Guru Tunjang Sekolah SEJAHTERA” pada tahun ini membawa pengertian yang cukup bermakna bagi pengorbanan seorang guru sejak sekian lamanya berkhidmat dalam mencurahkan ilmu kepada anak bangsa. Sekolah bukan sahaja tempat para pelajar mendapatkan ilmu malah merupakan tempat untuk membina sahsiah diri, memupuk sifat kepimpinan serta amalan baik yang dapat diterapkan oleh guru-guru kepada pelajar. Bertepatan dengan tema pada tahun ini, guru merupakan insan yang bertanggungjawab mencorakkan generasi pada hari ini mengikut acuan dan aspirasi yang telah digariskan serta guru lah yang menjadi barisan paling hadapan didalam perjuangan mendidik anak bangsa.

Tugas dan profesion seorang guru boleh diibaratkan seperti seorang yang membawa sebuah tren yang sarat dengan penumpang. Jika berlaku kelewatan tren, ianya akan mengakibatkan kelewatan untuk sampai ke destinasi yang ditetapkan mengikut jadual, jika berlaku masalah teknikal pada tren tersebut ia mungkin akan membahayakan penumpangnya.

Ini boleh dilihat ketika Covid-19 melanda negara sebelum ini, apabila sistem pembelajaran kita tergendala, dan kaedah pembelajaran diubah menjadi atas talian sepenuhnya yang sedikit sebanyak menyukarkan kita sebagai guru untuk menyampaikan ilmu di atas kekangan-kekangan yang telah dinyatakan sebelum ini. Namun, objektifnya tetap sama iaitu ingin sampai ke destinasi yang ingin ditujui. Landasan yang telah dibina perlu diselenggara sentiasa bagi memberikan perjalanan yang selesa dan selamat kepada semua. Itulah guru yang sentiasa beradaptasi dengan keadaan dan situasi semasa.

Pelan Pembangunan Pendidikan 2013-2025 yang dilaksanakan oleh Kerajaan pada ketika ini berfungsi sebagai satu hala tuju dengan lima aspirasi iaitu :

i. Akses
ii. Kualiti
iii. Ekuiti
iv. Perpaduan
v. Kecekapan

Setiap aspirasi yang digariskan didalam pelan pendidikan tersebut adalah penting dalam sistem pendidikan negara kita. Ini kerana, yang pertama akses kepada pendidikan adalah milik dan hak semua, meskipun masih berlaku masalah keciciran dalam mendapatkan pendidikan, saya memohon agar setiap daripada kita memandang serius akan perkara ini bagi memastikan anak bangsa kita mendapat pembelajaran dan pendidikan yang sempurna sehingga mereka berjaya.

Kualiti serta tahap instrumen yang digunapakai oleh kita pada ketika ini juga memainkan peranan penting sesuai dengan arus perkembangan zaman berteknologi tinggi, pihak Kerajaan Persekutuan harus peka dengan keadaan infrastruktur sekolah dan segala keperluan yang diperlukan oleh para guru pada ketika ini. Ekuiti didalam pembelajaran perlu saksama, jurang pencapaian perlu dirapatkan diantara luar bandar dan bandar.

Perpaduan dan kecekapan juga penting dalam memupuk nilai kebersamaan dalam menghasilkan seorang anak bangsa yang berjaya pada masa hadapan kelak. Dengan adanya sistem pendidikan yang jitu seperti yang telah digariskan didalam pelan pendidikan tersebut, maka lahirlah kelompok anak bangsa yang akan merapatkan jurang sosioekonomi, berjiwa watan serta mampu mengharumkan nama negara di persada dunia.

Oleh itu saya rakamkan penghargaan terima kasih kerana menjadi seorang yang bercita-cita tinggi, bertanggungjawab serta beramanah dalam mendidik anak bangsa tidak kira cabaran dan dugaan yang mendatang. Tanpa guru siapalah kita, mereka ibarat ibu bapa kedua kita ketika berada di sekolah, jatuh bangun kita, guru lah yang menjadi teman serta pembakar semangat untuk melangkah lebih jauh dengan dorongan dan semangat yang diberikan.

Selamat Hari Guru kepada semua.

https://www.shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/10/logo_white1.png
Hakcipta Terpelihara © 2008 - 2022 Dr. Shamsul Anuar Nasarah.
https://www.shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/10/logo_white1.png
Hakcipta Terpelihara © 2020 Shamsul Nasarah.
Contact
+605 767 9055
Pusat Khidmat Ahli Parlimen Lenggong, 52A, Jalan Alang Iskandar, 33400 Lenggong, Perak.
Popular Links
How Can You Help