Sambutan Ambang Merdeka Di Padang Majlis Daerah
LENGGONG – Ribuan warga kawasan Parlimen Lenggong telah memenuhi Padang Majlis Daerah Lenggong pada malam Sabtu bagi menyambut detik Ambang Merdeka menjelang 31 Ogos 2026.
Suasana meriah menyelubungi padang tersebut apabila orang ramai berkumpul seawal malam menanti saat jam menunjukkan pukul 12 tengah malam untuk bersama-sama melaungkan laungan “Merdeka”.
Ahli Parlimen Lenggong merangkap Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah turut hadir bersama rakyat bagi menyambut detik bersejarah tersebut, meneruskan tradisi beliau pada setiap tahun meraikan Ambang Merdeka bersama penduduk kawasan Parlimen Lenggong.
Sambutan yang dianjurkan dengan kerjasama pelbagai pejabat dan agensi kerajaan serta Persatuan Bola Sepak Lenggong itu turut dimeriahkan dengan persembahan buskers dan cabutan bertuah dengan hadiah menarik kepada pengunjung yang hadir.
Pertunjukan bunga api menjadi acara kemuncak sambutan tersebut, diiringi nyanyian Lagu Negaraku yang bergema di seluruh padang, memperlihatkan semangat patriotisme yang terus menyala dalam kalangan rakyat di akar umbi kawasan Parlimen Lenggong.

