Sabah Catat 3,553 Kes Penyalahgunaan Dadah Dalam Tempoh Tiga Bulan Pertama 2026

July 22, 2026

KUALA LUMPUR – Timbalan Menteri Dalam Negeri, YB Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah memaklumkan bahawa seramai 3,553 orang telah dikesan terlibat dengan penyalahgunaan dadah dan bahan di negeri Sabah bagi tempoh Januari hingga Mac 2026, berdasarkan statistik Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK). Beliau menyatakan bahawa dadah jenis ATS (Amphetamine-Type Stimulants) merupakan jenis yang paling banyak disalahguna melibatkan 3,459 orang, diikuti kategori lain-lain seramai 57 orang dan ganja seramai 26 orang.

Menjawab soalan di Dewan Negara, YB Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah menegaskan bahawa trend penyalahgunaan dadah sintetik, khususnya ATS, kekal menjadi cabaran utama di Sabah. Beliau memaklumkan bahawa bagi tempoh Januari hingga Mei 2026, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sabah telah merekodkan 6,993 kes dengan 7,334 tangkapan, termasuk 4,626 kes di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. Dalam tempoh yang sama, seramai 318 penagih berulang telah ditangkap di bawah Seksyen 39(c) akta yang sama.

Beliau turut mendedahkan bahawa JSJN Sabah telah berjaya menumpaskan 9 sindiket pengedaran dadah bagi tempoh Januari hingga Mei 2026, meningkat berbanding 6 sindiket dalam tempoh yang sama pada tahun 2025, dengan jumlah rampasan sebanyak 4,246 kilogram. Kejayaan ini disokong melalui kerjasama strategik bersama JSJN Bukit Aman, Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Agensi Kawalan Perlindungan Sempadan Malaysia, khususnya dalam aspek perisikan, perkongsian maklumat, penyelarasan operasi serta pengawasan pintu masuk negara. Sebahagian besar bekalan dadah ke Sabah dikesan memasuki negeri tersebut melalui kargo udara, perkhidmatan kurier dan laluan laut dari Semenanjung Malaysia.

Dalam aspek pencegahan, YB Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah memaklumkan bahawa AADK melaksanakan Model i-Cegah yang mengintegrasi pendekatan pencegahan umum, selektif dan berfokus mengikut tahap risiko kumpulan sasaran. Pelbagai program turut dilaksanakan di peringkat komuniti dan institusi pendidikan seperti Kampung Inspirasi Bebas Dadah, Scout Anti Dadah, Kem Pintar 2.0, Kem Eksplorasi Potensi Murid, Program Siswa Aktif, Gagasan Eksplorasi, Program Keluarga Prihatin serta Program Tempat Kerja Bebas Dadah bagi meningkatkan kesedaran dan memperkukuhkan daya tahan masyarakat.

Bagi memperkukuhkan kapasiti rawatan dan pemulihan di Sabah, beliau memaklumkan bahawa pembinaan Pusat Pemulihan Penagih Narkotik (PUSPEN) Tawau telah diluluskan dalam Rolling Plan ke-5, Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12), dengan kos sebanyak RM157.031 juta. Pusat ini dijangka meningkatkan keupayaan menampung klien, khususnya di Pantai Timur Sabah. Kerajaan akan terus memperkukuhkan pendekatan bersepadu melalui kerjasama erat pelbagai agensi, penguatkuasaan dan masyarakat bagi memberantas isu penyalahgunaan dadah di negeri tersebut.

https://www.shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/10/logo_white1.png
Hakcipta Terpelihara © 2008 - 2026 Dr. Shamsul Anuar Nasarah.
https://www.shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/10/logo_white1.png
Hakcipta Terpelihara © 2020 Shamsul Nasarah.
Contact
+605 767 9055
Pusat Khidmat Ahli Parlimen Lenggong, 52A, Jalan Alang Iskandar, 33400 Lenggong, Perak.
Popular Links
How Can You Help