RTS Link ‘Game Changer’ Untuk Rakyat Johor Bahru

February 14, 2026

KUALA LUMPUR – Timbalan Menteri Dalam Negeri merangkap Ahli Parlimen Lenggong, Shamsul Anuar Nasarah, berkata Rang Undang-Undang Rapid Transit System (RTS) Link Johor Bahru-Singapura 2026 akan membawa perubahan besar kepada kehidupan rakyat, khususnya mereka yang berulang-alik ke Singapura.

Dalam sesi Dewan Rakyat baru-baru ini, Shamsul berkata undang-undang itu memberi asas perundangan khusus bagi operasi rentas sempadan RTS Link, selain melengkapi undang-undang sedia ada dan memastikan perlindungan serta kedaulatan negara.

“Projek RTS Link ini merupakan game changer yang bakal mengubah landskap kehidupan rakyat Johor Bahru, terutama mereka yang berulang-alik ke Republik Singapura,” katanya.

Menurutnya, 80 peratus pengguna sedia ada adalah rakyat Malaysia dari seluruh negara yang bekerja di Singapura. Dengan pengoperasian RTS Link, perjalanan yang sebelum ini mengambil masa dua hingga empat jam sehala pada waktu puncak dijangka dipendekkan kepada hanya lima minit.

“Ini akan mengurangkan stres, meningkatkan kualiti hidup dan membolehkan lebih banyak masa bersama keluarga,” katanya.

Shamsul turut memaklumkan sebanyak 794 jawatan baharu diwujudkan melibatkan pegawai Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Polis Diraja Malaysia yang akan ditempatkan di RTS Link Bukit Chaga dan Woodlands bermula 1 Oktober 2026.

Penempatan pegawai Singapura pula memerlukan kelulusan bertulis kerajaan Malaysia, selaras perjanjian dua hala antara kedua-dua negara.

Beliau juga menegaskan pegawai penguat kuasa Malaysia yang bertugas di Singapura akan menikmati kekebalan daripada didakwa di mahkamah negara jiran atas tindakan rasmi, namun tetap tertakluk kepada undang-undang Malaysia.

“Sekiranya Singapura gagal memberi perlindungan setara kepada pegawai Malaysia, peruntukan undang-undang Malaysia tidak akan terpakai kepada pegawai mereka,” katanya.

Dalam aspek keselamatan data, Shamsul berkata semua data sulit termasuk biometrik akan disimpan di pusat data kerajaan Malaysia dengan kawalan keselamatan fizikal dan siber yang ketat. Data tidak akan dipindahkan ke pelayan luar negara tanpa kelulusan rasmi kerajaan.

Kerajaan juga, katanya, telah merangka strategi penyuraian trafik termasuk menambah laluan dan bilangan bas, menyediakan lorong khas bas, serta meningkatkan kapasiti tren elektrik dan penggunaan sistem e-gate berasaskan kecerdasan buatan (AI) di kedua-dua stesen Bukit Chaga dan Woodlands.

Menjawab isu penggunaan Bahasa Kebangsaan dalam penamaan akta, Shamsul menjelaskan istilah “Rapid Transit System Link Johor Bahru-Singapura” dikekalkan sebagai kata nama khas kerana ia signifikan dalam perjanjian antara kedua-dua negara.

Kos projek RTS Link melibatkan RM5.285 bilion untuk infrastruktur dan RM754 juta untuk sistem. Kerajaan, katanya, komited memastikan harga tiket munasabah dan tidak membebankan rakyat.

Shamsul menegaskan, kedua-dua negara perlu mewartakan perlindungan domestik selewat-lewatnya 30 Jun 2026 dan memastikan penguatkuasaan sepenuhnya pada 30 September 2026.

“Tidak timbul isu berat sebelah kerana kedua-dua negara terikat di bawah perjanjian antarabangsa demi melindungi pegawai masing-masing yang bertugas di seberang sempadan,” katanya.

https://www.shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/10/logo_white1.png
Hakcipta Terpelihara © 2008 - 2026 Dr. Shamsul Anuar Nasarah.
https://www.shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/10/logo_white1.png
Hakcipta Terpelihara © 2020 Shamsul Nasarah.
Contact
+605 767 9055
Pusat Khidmat Ahli Parlimen Lenggong, 52A, Jalan Alang Iskandar, 33400 Lenggong, Perak.
Popular Links
How Can You Help