Ratusan Anak Rantau Lenggong Berkumpul Sempena PAU 2026
KUALA LUMPUR – Perhimpunan Agung UMNO 2026 melabuhkan tirainya pada 12 September lalu selepas berlangsung selama empat hari di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, dengan Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan ‘TEKAD 16′ sebagai formula parti menghadapi PRU-16.
Timbalan Menteri Dalam Negeri merangkap Ahli Parlimen Lenggong dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah hadir bersama perwakilan Bahagian Lenggong sepanjang perhimpunan tersebut.
Sempena kehadiran di ibu kota, Pusat Khidmat Ahli Parlimen Lenggong turut menganjurkan Majlis Makan Malam Anak Rantau Semalaysia Parlimen Lenggong yang menghimpunkan ratusan anak perantau Lenggong dari seluruh negara. Majlis diserikan dengan kehadiran Menteri Besar Perak merangkap Pengerusi BN Lenggong, Dato’ Seri Saarani Mohamad serta Pegawai Khas kepada Menteri Besar Perak (DUN Kenering), Cikgu Aida.
“Walaupun masing-masing berada jauh di perantauan, apabila bertemu, terasa seolah-olah kembali ke pangkuan keluarga sendiri. Jauh di mata, dekat di hati,” ujar Cikgu Aida yang menyifatkan malam itu penuh kemesraan dan gelak tawa apabila anak-anak rantau bertukar cerita dan mengeratkan silaturahim.
Majlis ini merupakan kesinambungan komitmen Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar dalam mengeratkan hubungan dengan warga Parlimen Lenggong di perantauan, selepas Kelab Sukan dan Kebajikan Anak Rantau Parlimen Lenggong Se-Malaysia dilancarkan pada Januari lalu.

