Malaysia amat bertuah kerana kesan sejarah pembentukan bumi yang berlaku jutaan tahun lalu, menghasilkan kepelbagaian sumber mineral yang amat penting kepada pertumbuhan ekonomi negara.
Setiap sumber ini memiliki nilai signifikan dan berpotensi dibangunkan, namun perlu berasaskan prinsip kelestarian dan kemampanan sumber untuk jangka panjang.
Sejak kemerosotan perlombongan bijih timah, industri mineral negara sukar berkembang maju seperti dahulu. Puncanya, kurang pelaburan dalam penerokaan sumber mineral baharu.
Kesan faktor luaran seperti pertukaran penggunaan tanah, perkembangan kawasan perbandaran dan kepesatan pembangunan sektor lain, terutama perkilangan dan perkhidmatan juga menyebabkan industri mineral kini dianggap tidak lagi menarik.
Jika dilihat aspek kepentingannya, semua pihak perlu melihat industri ini sebagai industri asas yang menyokong pelbagai sektor ekonomi strategik lain.
Tanpa pengeluaran sumber mineral, sektor seperti pembinaan, pengilangan, elektrik dan elektronik, telekomunikasi, logistik dan lain-lain turut sukar meneruskan aktiviti masing-masing.
Oleh itu, selain bergantung kepada bahan mentah mineral diimport, wajar ia diperoleh daripada sumber tempatan yang memang tersedia, tetapi tidak diterokai sewajarnya.
Namun, dalam kerancakan minat penerokaan bahan mineral ini, perkara asas perlu diberikan perhatian adalah kesan yang mungkin timbul kepada alam sekitar dan habitat semula jadi.
Kepentingan pengekalan kawasan berhutan akan terus menjadi agenda kerajaan. Oleh itu, sebarang aktiviti penerokaan dan perlombongan mineral di kawasan hutan simpan tidak dibenarkan.
Ini termasuk kawasan sensitif alam sekitar (KSAS), kawasan tadahan air, kawasan sumber air bawah tanah dan kawasan habitat hidupan liar.
Tujuannya, mengelak gangguan kepada ekosistem dan implikasi terhadap risiko bencana, nilai sokongan hidup, nilai khazanah serta nilai warisan kawasan terbabit.
Kini, aktiviti perlombongan dan pengkuarian di negara maju memasuki satu fasa penggunaan pelbagai teknologi geofizik, pengimejan tiga dimensi (3D), realiti maya (VR), realiti perantaran (AR), sistem maklumat geografi (GIS), kenderaan panduan sendiri, dron dan teknologi terkini lain.
Oleh itu, hala tuju pembangunan industri mineral negara hendaklah mengguna pakai teknologi terbabit terutama bagi mendapatkan maklumat berkaitan taburan mineral, guna tanah dan pengoperasian lombong lebih efisien.
Pada masa sama, usaha membangunkan platform pangkalan data komprehensif perlu dilakukan, termasuk aplikasi kebolehkesanan sumber mineral bagi tujuan pemantauan dan kawalan perdagangan.
Justeru, bagi membangunkan semula industri mineral negara supaya menjadi satu industri berkembang pesat dan maju, kerajaan merangka pelan jangka panjang dinamakan Pelan Transformasi Industri Mineral Negara 2021-2030 (TIM 2021-2030).
Pelan ini akan dilaksanakan sepanjang Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) dan RMKe-13, bertujuan mempertingkatkan pembangunan dan pengurusan industri mineral dengan memberi penekanan kepada penciptaan nilai tambah, diusahakan secara lestari dan mencipta industri sokongan termasuk penggunaan teknologi terkini dalam Revolusi Industri 4.0 (IR4.0).
Hala tuju utama pelan ini adalah ‘sumbangan signifikan industri mineral kepada pertumbuhan ekonomi’ dan dijadikan agenda utama yang perlu dicapai.
Visi ini dipandu melalui misi membangunkan industri mineral merangkumi keseluruhan rantaian nilai berteraskan kepada prinsip kemampanan’.
Pelan ini dibangunkan berasaskan lima teras utama merangkumi tadbir urus dan perundangan, pembangunan rantaian nilai industri mineral, pemetaan dan inventori sumber mineral, aplikasi teknologi dan inovasi serta pembangunan modal insan.
TIM 2021-2030 menyasarkan dalam tempoh 10 tahun akan datang, industri mineral di Malaysia akan berkembang dalam rantaian nilai yang lengkap daripada peringkat huluan hingga hiliran, terutama bagi mineral strategik.
Bagi menjayakan aspirasi ini, kerajaan menetapkan beberapa sasaran utama sebagai petunjuk keberhasilan kepada kemajuan pelaksanaan pelan ini.
Antaranya, peningkatan sumbangan subsektor perlombongan dan kuari kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) daripada 0.7 peratus kepada 1 peratus pada 2030, selain penubuhan Lembaga Pembangunan Industri Mineral Malaysia, pengurangan ketidakseimbangan perdagangan dan menggerakkan keseluruhan rantaian nilai industri mineral merangkumi peringkat huluan, pertengahan dan hiliran.
Berasaskan pemetaan awal, sumber mineral negara dianggar mencecah RM4.11 trilion. Jika ini dapat digunakan secara optimum, ia dapat memberi pulangan berganda terhadap ekonomi negara, seterusnya mengelak berlaku kemajiran atau kemandulan sumber mineral di Malaysia.
Terdapat beberapa jenis sumber mineral dilihat strategik dibangunkan merangkumi bijih timah, pasir silika, kaolin, bauksit dan unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE).
Semua mineral ini perlu diutamakan bagi kegunaan domestik supaya negara dapat mengurangkan kebergantungan terhadap sumber mineral diimport.
Kerajaan juga menyasarkan sumber mineral ini dibangunkan lebih efisien membabitkan pelaburan dari dalam dan luar negara, menggunakan teknologi maju dan mesra alam.
Melalui pelaburan ini, dijangkakan pembangunan kawasan disasar sebagai wilayah (kluster) industri mineral dapat direalisasikan.
Dalam Pelan TIM 2021-2030, konsep circular economy akan diterapkan dalam aktiviti perlombongan supaya dapat memaksimumkan penggunaan sumber mineral sedia ada, di samping mengguna semula sisa lombong yang masih mempunyai nilai.
Konsep urban mining (perlombongan urban) turut diperkenalkan melalui pengekstrakan bahan mineral daripada bahan sisa buangan isi rumah, komponen elektronik dan sebagainya.
Malah, kerajaan membangunkan prosedur operasi standard (SOP) sebagai panduan kepada semua pihak berkaitan.
Ini menunjukkan usaha kerajaan tidak hanya tertumpu kepada pembangunan ekonomi, malah mengutamakan aspek kelestarian alam sekitar dan kesejahteraan penduduk supaya sasaran membangunkan industri ini secara mampan, terlaksana.
Setiap perancangan ditetapkan TIM 2021-2030 juga mengambil kira peranan wajar dimainkan kerajaan negeri dalam pembangunan industri mineral.
Sehubungan itu, kerajaan akan memastikan sasaran ditetapkan sepanjang 2021 hingga 2030 berjaya dicapai mengikut pelan tindakan dan garis masa dirancang.