Ramah Mesra & Perjumpaan Bersama Warga PDRM IPK Sabah

October 29, 2023

Hari ini di Kota Kinabalu saya telah mengadakan lawatan kerja ke Ibu Pejabat Polis Kontijen Sabah.

Lawatan dimulakan dengan sesi ramah mesra bersama pegawai dan anggota PDRM kontijen Sabah.

Saya juga mengadakan perjumpaan dan sempat menyampaikan kepada warga PDRM IPK Sabah.

Kesempatan saya ambil dengan meminta agar pasukan PDRM khasnya di Sabah terus mengekalkan mutu perkhidmatan dan memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat dan negara.

Saya nyatakan komitmen dan kesediaan KDN untuk terus menjaga kebajikan anggota terutama dari segi tempat kediaman (kuarters) dan kelengkapan khasnya dalam menjaga keselamatan dan ketenteraman awam khusus di kawasan sempadan.

Dalam ucapan, saya turut menyatakan bahawa YAB Perdana Menteri dalam Ucapan Belanjawan 2024 pada 13 Oktober 2023 yang lalu telah memperuntukkan sejumlah RM19 bilon kepada Kementerian Dalam Negeri yang turut meliputi PDRM untuk terus memperkukuh ketenteraman awam dan menjamin keamanan serta keselamatan negara.

Antara lain peruntukan yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri termasuk penggantian aset lama dengan tujuh pesawat kapal terbang enjin berkembar dan lima helikopter ringan PDRM bagi memperkukuh tahap kesiapsiagaan keselamatan negara. Selain itu, peruntukan turut disediakan bagi menambah bilangan anjing pengesan K9 untuk PDRM.

Pada masa yang sama, kebajikan anggota penguatkuasaan tidak diketepikan melalui Belanjawan kali ini.

Sebanyak RM2.4 bilion diperuntukkan untuk membina, menyelenggara dan membaik pulih kuarters pelbagai pihak termasuk anggota polis.

Saya juga mwnyatakan bahawa beberapa projek baharu bagi Polis Sabah telah dikenal pasti yang melibatkan pembinaan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di Kalabakan dan Nabawan berserta perumahan, pembinaan baharu Pejabat Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sabah, pembinaan Balai Polis Tambisan, Lahad Datu dan Rumah Transit dengan peruntukan tahun 2024 berjumlah RM1.2 juta.

Tambahan daripada itu, Kementerian dalam perancangan untuk melaksanakan penambahan pos-pos keselamatan baharu di sempadan darat serta pembelian aset-aset keselamatan yang terkini melalui permohonan projek baharu fizikal dan bukan fizikal bagi Rolling Plan Keempat (RP4), RMKe-12, Tahun 2024 merangkumi penambahan pos kawalan, Forward Operation Base, perolehan kapal dan bot serta perolehan aset taktikal yang baharu untuk tujuan operasi di sempadan.

Dengan bajet penyelenggaraan melibatkan Kuarters PDRM di IPD-IPD ini akan sedikit sebanyak memberikan keselesaan kepada pegawai dan anggota yang bertugas, selain meningkatkan motivasi diri untuk terus berkerja dan memberikan perkhidmatan yang lebih cemerlang kepada masyarakat.

Turut hadir YDH Datuk Shahurinain bin Jais, Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, YBrs. Tuan Anuar Zaki bin Bakar, Setiausaha Bahagian Hal Ehwal Imigresen KDN, Pegawai-Pegawai Kanan KDN dan PDRM Sabah.

Majlis ini diakhiri dengan Jamuan Makan Tengahari bersama warga PDRM IPK Sabah.

https://www.shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/10/logo_white1.png
Hakcipta Terpelihara © 2008 - 2024 Dr. Shamsul Anuar Nasarah.
https://www.shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/10/logo_white1.png
Hakcipta Terpelihara © 2020 Shamsul Nasarah.
Contact
+605 767 9055
Pusat Khidmat Ahli Parlimen Lenggong, 52A, Jalan Alang Iskandar, 33400 Lenggong, Perak.
Popular Links
How Can You Help