Ramah Mesra Bersama Masyarakat Orang Asli RPS Air Bah Lenggong
LENGGONG – Timbalan Menteri Dalam Negeri merangkap Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah mengadakan sesi ramah mesra bersama masyarakat Orang Asli di Rancangan Penempatan Semula (RPS) Air Bah Lenggong pada Selasa.
Kunjungan beliau yang berlangsung pada jam 3.30 petang itu dilakukan selepas menghadiri Majlis Perasmian Sekolah Menengah Tahfiz Darul Ridzuan Kampung Bukit Sapi Lenggong pada awal hari yang sama.
Turut mengiringi Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar dalam kunjungan tersebut ialah Pegawai RELA Lenggong, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Lenggong serta beberapa Ahli Jawatankuasa Pemuda UMNO Bahagian Lenggong.
Sesi ramah mesra itu bertujuan mengeratkan hubungan silaturahim antara wakil rakyat dengan masyarakat Orang Asli di kawasan parlimen berkenaan, selain mendengar secara langsung keperluan serta isu yang dihadapi penduduk penempatan tersebut.
Kunjungan ini dilihat sebagai kesinambungan usaha berterusan Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar dalam memastikan kebajikan masyarakat Orang Asli di Parlimen Lenggong terus diberi perhatian dan tidak terpinggir daripada arus pembangunan.

