Ramah Mesra & Berbuka Puasa Bersama Warga KDN Di London
LONDON – Sempena lawatan rasmi ke United Kingdom, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah telah mengambil peluang untuk mengadakan majlis ramah mesra dan berbuka puasa bersama warga Kementerian Dalam Negeri (KDN), termasuk pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Imigresen yang bertugas di Kota London.
Majlis tersebut turut dihadiri oleh semua pegawai serta keluarga mereka, memberikan ruang kepada Shamsul Anuar untuk berinteraksi secara langsung dan mendapatkan pelbagai maklumat mengenai keadaan serta kebajikan mereka di perantauan.
Menurut beliau, pertemuan seperti ini bukan sahaja mengeratkan hubungan antara pemimpin dan warga KDN di luar negara, malah membolehkan beliau memahami lebih dekat cabaran serta keperluan mereka sepanjang berada di London.
Shamsul Anuar berharap majlis seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang sebagai usaha memperkukuh hubungan dan memastikan kebajikan warga KDN sentiasa terpelihara, walau di mana mereka berada.

