PUSPANITA KDN Terokai Keindahan Geotrail Tasik Raban
LENGGONG – Lembah Lenggong, yang menyandang dwi-pengiktirafan antarabangsa UNESCO, terus menjadi tarikan. Terbaru, delegasi Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam (PUSPANITA) Kementerian Dalam Negeri (KDN) menaiki bot untuk meneroka kawasan Geotrail Tasik Raban hingga ke Kampung Beng.
Lawatan itu diadakan sempena Program Team Building PUSPANITA KDN di Lembah Lenggong. Turut serta ialah isteri Ketua Setiausaha KDN, isteri Timbalan Menteri Dalam Negeri Datin Hamisah Hussin, serta beberapa isteri Ketua Jabatan dan Agensi di bawah KDN.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, pengunjung ke Lembah Lenggong tidak seharusnya melepaskan peluang menaiki bot untuk menyaksikan sendiri keindahan kawasan tersebut.
“Sesiapa yang datang ke Lembah Lenggong mesti menaiki bot untuk melihat keindahan kawasan Geotrail Tasik Raban – Kampung Beng,” katanya.
Lenggong merupakan satu-satunya kawasan di Semenanjung Malaysia yang memiliki dwi-pengiktirafan UNESCO. Ia diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO sejak 2012 dan sebagai Lenggong UNESCO Global Geopark secara rasmi pada 28 April lalu di ibu pejabat UNESCO, Paris.
Pengiktirafan itu dilihat membuka peluang lebih luas untuk memperkukuh sektor pelancongan berasaskan alam semula jadi dan warisan, sekali gus memberi limpahan ekonomi kepada penduduk setempat.

