Merasmikan Seminar Ekspedisi Lenggong Geopark 2023
PUSAT PENYELIDIKAN LENGGONG GEOPARK
Penting dan dirancang diwujudkan sebuah PUSAT PENYELIDIKAN LENGGONG GEOPARK bagi membolehkan Lenggong dikunjungi selain pelancong biasa tetapi juga oleh Pengkaji, Penyelidik, mahasiswa, pelajar dalam dan luar negara dan dengan sendirinya membangunkan Education Tourism di Lenggong.
Hari ini saya merasmikan penutupan PROGRAM SEMINAR LENGGONG GEOPARK 2023.
Saya ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada pihak penganjur iaitu Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia Perak kerana mengadakan Seminar Lenggong Geopark 2023.
Ribuan terima kasih juga diucapkan kepada para pembentang dan peserta kerana memberi komitmen dan berbesar hati untuk mengikuti Seminar Lenggong Geopark yang berlangsung pada 13 hingga 15 September 2023 ini.
WARISAN LENGGONG
Lenggong Geopark meliputi hampir keseluruhan kawasan parlimen Lenggong dengan keluasan 2,068 km2. Bumi Lenggong Geopark menyimpan pelbagai khazanah ketamadunan manusia yang tinggi nilai warisannya serta bentuk muka bumi yang menarik dan unik seperti Gua Kajang, Gua Teluk Kelawar, Gunung Pulut dan sebagainya.
Lenggong juga menyimpan bukti kejadian dua peristiwa penting iaitu hentaman meteorit yang berlaku pada 1.83 juta tahun yang lampau dan letusan volkano Toba di Sumatera yang berlaku pada 75,000 tahun yang lalu.
Dari segi arkeologinya, penemuan alat batu dalam batuan suevit membuktikan kehadiran masyarakat Paleolitik tertua di Malaysia iaitu 1.83 juta tahun dahulu dan rangka manusia Perak (Perak Man)hamper lengkap yang dipercayai hidup sekitar 10,000 tahun dahulu turut ditemui di Gua Gunung Runtuh.
Dengan segala nilai warisan yang bertaraf antarabangsa ini, saya yakin Lenggong mampu dinobatkan sebagai UNESCO Global Geopark yang ketiga selepas Langkawi UGGp dan Gunung Kinabalu UGGp.
Kajian Dan Penyelidikan Penting Untuk Membangunkan LENGGONG GEOPARK.
Salah satu inisiatif bagi hasrat Lenggong Geopark ke arah pengiktirafan UNESCO Global Geopark adalah menggalakkan kajian-kajian saintifik dan penerbitan makalah atau jurnal oleh para penyelidik pelbagai bidang dari dalam dan luar negara.
Seminar Lenggong Geopark bertujuan mengenengahkan hasil Ekspedisi Lenggong Geopark yang telah dijalankan dengan jayanya pada 1 hingga 5 Ogos 2023 di mana melibatkan enam bidang kajian iaitu geologi, biologi (flora dan fauna), sejarah dan budaya, pelancongan, keselamatan serta pertanian dan peladangan.
Tiga Geotrail yang terlibat semasa Ekspedisi iaitu (Geotrail Tasik Raban, Geotrail Laluan Geobudaya Berkeley dan Geotrail Gunung Pulut) akan diangkat bagi pembangunan produk Geopelancongan Lenggong Geopark.
Hasil daripada seminar yang dijalankan ini, kesemua penyelidikan akan diterbit dan dibukukan bagi tujuan produk geopenyelidikan dan pemangkin pembangunan geopelancongan di Lenggong Geopark.
Pendokumentasian kajian saintifik berkaitan sumber warisan geologi, biologi dan budaya di Lenggong Geopark ini amatlah penting sebagai sumber rujukan masyarakat dan ahli penyelidik seluruh dunia untuk masa kini dan masa akan datang.
Harapan saya, para geokomuniti di lenggong perlu mengambil inisiatif dan lebih agresif dalam mengambil peluang memangkin ekonomi tempatan di Lenggong seiring dengan matlamat Geopark untuk memperkasakan komuniti di mata dunia.
Saya yakin bahawa program yang dijalankan ini memberi satu impak positif dan batu loncatan kepada Lenggong Geopark untuk mencapai misi kearah UNESCO Global dalam tempoh 2 hingga 3 tahun ini.
PENUTUP
Program Seminar Lenggong Geopark ini julung kalinya diadakan di Lenggong Geopark. Semoga segala usaha dan inisiatif sebegini dapat merealisasikan hasrat kita untuk menjadikan Lenggong Geopark kearah UNESCO sebelum 2025 akan tercapai.
Saya merasmikan penutupan Seminar Lenggomg Geopark 2023 – 15.9.2023 di Ipoh Perak.