PRU15: Dr Shamsul Yakin Kematangan Pengundi Muda, PADU BN Tawar Perkara Realistik

November 18, 2022

LENGGONG, 18 Nov – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah yakin kematangan pengundi muda yang dapat menilai parti mana berkaliber dalam mengurus tadbir negara.

Kata Pengarah Komunikasi Barisan Nasional (BN) itu, sudah pasti kesan 22 bulan Pakatan Harapan (PH) memerintah negara akan menjadi rujukan dan pengajaran buat mereka dalam membuat keputusan.

“Makna tahap kematangan mereka untuk membuat keputusan cukup tinggi. Ini kita tidak boleh nafikan malah sebahagian daripada mereka adalah di kalangan yang mampu untuk menilai, melihat bagaimana prestasi yang ditunjukkan PH ketika 22 bulan memerintah yang tdak menunaikan janji, bercakap kosong, pandai berkata-kata tetapi realitinya apabila diberi amanah untuk mentadbir negara porak-peranda, ekonomi merudum, kebajikan rakyat tidak terbela dan harta rakyat banyak dijual.

“Dan semua ini saya yakin menjadi rujukan dan pengajaran oleh anak muda. Yang tahu jika mereka memilih parti yang rosakkan masa depan mereka tentu merugikan. Saya berkeyakinan sejarah yang ditunjukkan dalam tempoh 22 bulan dalam politik negara ini ia jadi pengajaran besar kepada anak muda

“Dan itulah yang kita lihat diterjemahkan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor. Kalau kita lihat kebanyakan saluran muda berpihak kepada BN. Ia berpunca daripada kebijaksanaan dalam menilai,” ujarnya lagi kepada UMNO Online.

Tambah Dr Shamsul yang juga calon dan penyandang kerusi Parlimen Lenggong, tidak boleh dinafikan kematangan golongan muda dalam memilih kerana kesannya akan turut dirasai oleh mereka pada masa hadapan.

“Kita jangan sesekali menidakkan kematangan ini kerana mereka matang. Maklumat berada di hujung jari dan mereka menilai. Sebab itu saya yakin kematangan dan kebolehan golongan muda untuk buat penilaian kerana mereka tentu tidak mahu memperjudikan masa depan mereka sendiri.

“Apa keputusan yang mereka buat pada 19hb nanti (esok, Sabtu) kesannya kepada masa depan mereka sendiri. Sebab itu saya yakin anak muda tidak akan memperjudikan nasib dan akan meletakkan parti yang benar-benar berkeupayaan untuk merangka, membangunkan negara bagi membina masa hadapan, mewujudkan kestabilan dan tentunya memberi kemakmuran kepada rakyat. Saya yakin anak muda akan memlih BN,” katanya.

Berhubung dengan tawaran PADU manifesto BN, Dr Shamsul menjelaskan ia berasaskan kepada realiti semasa termasuk mengambil berat keperluan generasi muda.

“Sebab itu apa yang kita tawarkan dalam PADU (Perancangan, Amal dan Usaha) ialah berasaskan kepada realiti semasa. Kita tidak mahu lagi rakyat dibelenggu dengan isu-isu kesusahan untuk belajar terutama golongan B40.

“Maka jelas di dalam manifesto berkenaan kita menawarkan pendidikan percuma kepada golongan ini. Kita tidak mahu lagi di kalangan ibu-ibu muda yang bekerja yang punya anak kecil terbeban dengan kos asuhan anak-anak sama ada di bandar-bandar besar terutamanya juga di tempat-tempat lain.

“Sebab itu berasaskan realiti ini kita menawar dan menyelesaikan isu-isu berkenaan. Nampak kecil tetapi ia kesan besar kepada rakyat. Maknanya apa yang kita tawar dalam manifesto berkenaan soal-soal yang memang menjadi tuntutan dan keinginan dan menyelesaikan masalah generasi muda,” jelasnya lagi.

Antara lain katanya, PADU juga menawarkan satu revolusi berkaitan pembasmian kemiskinan tegar dan menangani kos sara hidup sama ada golongan muda yang baru berkeluarga dan sebagainya.

“Ini isu-isu yang menjadi realiti kehidupan rakyat ketika ini. Itu yang nak ditawarkan oleh BN bukan soal-soal hal yang hanya nampak kulitnya hebat tetapi realitinya tidak pun selesaikan masalah rakyat.

“Jadi, jelas dalam PADU kita selesaikan realiti kehidupan rakyat dalam waktu yang sama bagaimana kita hendak adun negara ini, mentadbir dengan baik bagi kita memacu supaya ia pergi lebih jauh bagi menyediakan peluang pekerjaan, kebajikan, pendidikan, pembangunan di bandar desa di luar bandar dalam semua aspek.

“Ini kandungan dalam PADU sepuluh perkara utama yang benar-benar realistik, menyelesaikan isu dan masalah rakyat,” katanya.

Tegasnya, ini berbeza dengan PH yang lebih kepada tawaran-tawaran berbentuk retorik dan tidak logik. – UMNO ONLINE

Sumber: https://umno-online.my/2022/11/18/pru15-dr-shamsul-yakin-kematangan-pengundi-muda-padu-bn-tawar-perkara-realistik/

https://www.shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/10/logo_white1.png
Hakcipta Terpelihara © 2008 - 2022 Dr. Shamsul Anuar Nasarah.
https://www.shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/10/logo_white1.png
Hakcipta Terpelihara © 2020 Shamsul Nasarah.
Contact
+605 767 9055
Pusat Khidmat Ahli Parlimen Lenggong, 52A, Jalan Alang Iskandar, 33400 Lenggong, Perak.
Popular Links
How Can You Help