PRU-15: UMNO Yakin Perdana Menteri Buat Pertimbangan Sewajarnya

June 1, 2022

KUALA LUMPUR: Pimpinan UMNO yakin Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan membuat pertimbangan sewajarnya berhubung Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah, berkata Perhimpunan Agung parti itu sebelum ini sudah memberikan kuasa kepada lima pemimpin tertinggi parti untuk menyusun strategi berkaitan PRU-15.

“Saya percaya Perdana Menteri ada pertimbangannya dan sudah tentu sebagaimana diputuskan UMNO dalam Perhimpunan Agung untuk memberikan kuasa kepada lima pemimpin tertinggi parti untuk menyusun strategi parti.

“Saya percaya kelima-lima pemimpin akan membuat keputusan terbaik kerana seperti dikatakan bekas Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak), kalau kita meletakkan kepentingan parti dan negara, saya percaya itu akan dilakukan oleh Perdana Menteri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Ismail Sabri yang berpendapat sekarang bukan masa sesuai untuk mengadakan PRU-15 ketika negara berdepan pelbagai isu seperti kenaikan kos sara hidup dan kadar inflasi yang tinggi.

Perdana Menteri dalam temu bual eksklusif bersama akhbar Nikkei berpangkalan di Jepun, iaitu akhbar kewangan terbesar dunia dengan pengedaran melebihi tiga juta sehari berkata, kenaikan harga makanan dan kos sara hidup antara sebab beliau memerlukan masa di sebalik spekulasi kuat PRU-15 dijangka diadakan sebelum akhir tahun ini.

Sementara itu, Ketua Pemuda MCA, Datuk Nicole Wong Siaw Ting, berkata biar apa pun kenyataan Perdana Menteri berhubung PRU-15, Barisan Nasional (BN) perlu sentiasa bersedia dengan segala kemungkinan.

“Bila masa sesuai? Kita tidak tahu kerana setiap hari berubah, kita perlu mendapatkan lebih banyak maklum balas daripada semua pihak di bawah.

“Pandangan peribadi saya, saya berasakan kita kena sentiasa bersedia untuk menghadapi pilihan raya umum,” katanya.

Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2022/06/961602/pru-15-umno-yakin-perdana-menteri-buat-pertimbangan-sewajarnya

https://www.shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/10/logo_white1.png
Hakcipta Terpelihara © 2008 - 2022 Dr. Shamsul Anuar Nasarah.
https://www.shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/10/logo_white1.png
Hakcipta Terpelihara © 2020 Shamsul Nasarah.
Contact
+605 767 9055
Pusat Khidmat Ahli Parlimen Lenggong, 52A, Jalan Alang Iskandar, 33400 Lenggong, Perak.
Popular Links
How Can You Help