Projek RM22 Juta NCIA Tingkat Kemudahan Pelancongan Gua Kelawar
LENGGONG – Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah pada hari ini melakukan lawatan ke kawasan pembangunan Gua Kelawar di Lenggong bagi meninjau perkembangan projek yang dilaksanakan oleh Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA).
Beliau menerima taklimat daripada pegawai NCIA berhubung projek pembangunan bernilai RM22 juta yang sedang dilaksanakan di kawasan Double Crown UNESCO iaitu Lenggong Tapak Warisan Dunia UNESCO dan Lenggong UNESCO Global Geopark.
Menurut beliau, Gua Kelawar merupakan salah satu tapak pra-sejarah penting yang mempamerkan bukti peninggalan zaman Paleolitik dan Neolitik. Gua tersebut terletak dalam Kompleks Kepala Gajah yang turut menempatkan Gua Kajang serta Gua Gunung Runtuh iaitu lokasi penemuan Perak Man.
“Banyak bukti sejarah telah ditemui di dalam gua ini. Kompleks Kepala Gajah terdiri daripada Gua Teluk Kelawar, Gua Kajang dan Gua Gunung Runtuh yang menempatkan Perak Man,” katanya.
Beliau berkata projek pembangunan tersebut dijangka meningkatkan lagi kemudahan pelancongan di kawasan Lenggong serta menambahkan kehadiran pengunjung ke kawasan yang memiliki dwi-pengiktirafan antarabangsa UNESCO ini.
Kawasan Lembah Lenggong merupakan satu-satunya lokasi di Semenanjung Malaysia yang memiliki dwi-pengiktirafan UNESCO iaitu Tapak Warisan Dunia UNESCO sejak 2012 dan UNESCO Global Geopark yang diiktiraf secara rasmi pada 28 April 2026.

