Projek Menaik Taraf Infrastruktur RM240,000 Perkasa Pelancongan Geopark Lenggong
GERIK – Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah pada Jumaat melawat tapak Projek Menaiktaraf Infrastruktur di Gunung Pulut, Kampung Tawai, Gerik, Perak bagi meninjau kemajuan pembangunan prasarana pelancongan di kawasan berkenaan.
Lawatan tersebut turut disertai Ketua Penolong Pegawai Daerah (Pembangunan) Pejabat Daerah Hulu Perak serta pimpinan Kampung Tawai.
Ahli Parlimen Lenggong itu berkata, projek bernilai sekitar RM240,000 di bawah peruntukan Kementerian Pelancongan dan Kesenian (MOTAC) tersebut bertujuan menaik taraf infrastruktur di kawasan Gunung Pulut yang merupakan salah satu tapak penting dalam pembangunan Lenggong UNESCO Global Geopark.
“Kawasan ini telah dan sedang dibangunkan sebagai satu daripada tapak penting pembangunan Lenggong UNESCO Global Geopark. Projek ini diharap memberikan manfaat kepada usaha menaikkan kegiatan ekonomi rakyat melalui aktiviti pelancongan sesuai dengan kawasan Geopark,” kata beliau.
Menurut Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar, pembangunan infrastruktur pelancongan di Gunung Pulut akan memperkukuh lagi ekosistem pelancongan di koridor Lenggong UNESCO Global Geopark serta menjana pertumbuhan ekonomi bagi masyarakat setempat.
Beliau menyatakan keyakinan bahawa projek tersebut mampu menarik lebih ramai pelancong ke kawasan berkenaan dan seterusnya memberi impak positif kepada pendapatan rakyat melalui aktiviti berkaitan pelancongan.

