Program Lawatan Kerja Keselamatan Sempadan Malaysia-Thailand Pengkalan Hulu Perak
Sebagai Timbalan Menteri
Dalam Negeri (TMDN) hari ini saya telah mengadakan Program Lawatan Kerja Keselamatan Sempadan Malaysia – Thailand di Pengkalan Hulu, Perak.
Objektif utama lawatan kerja ini adalah untuk memantau penugasan agensi-agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sempadan dan pintu masuk negara yang diwartakan.
Pengisian lawatan kerja ini dimulakan dengan taklimat pengoperasian dan isu-isu keselamatan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Berapit, Pengkalan Hulu, Perak oleh agensi yang berkaitan seperti Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Perak, Ibu Pejabat Polis Daerah Pengkalan Hulu, PDRM, Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Perak.
Turut serta dalam lawatan kerja ini adalah wakil dari Pejabat YB Setiausaha Kerajaan Negeri Perak dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Seterusnya, saya juga telah mengadakan tinjauan ke lokasi Sekatan Jalan Raya (SJR) di bawah kawalan Balai Polis Air Panas dan Pintu Masuk Antarabangsa (PMA) Malaysia-Thailand bagi memastikan tahap kawalan keselamatan di sempadan negara berada di tahap yang terbaik.
Melalui lawatan ini, saya dapat melihat keseluruhan operasi di pintu masuk Malaysia-Thailand yang melibatkan kerjasama dan kolaborasi pelbagai agensi kerajaan di sempadan negara.
Saya turut berpeluang untuk melihat tapak cadangan pembinaan ICQS Bukit Berapit yang baharu bagi menggantikan ICQS yang sedia ada dalam usaha menangani isu keselamatan dan memperketatkan kawalan keselamatan sempadan di PMA. Cadangan pembinaan ini telah dipersetujui pada Mesyuarat Jawatankuasa Pemantapan Kawalan Sempadan Negara (JKPKSN) Bil.1/2023 dan akan dimasukkan dalam permohonan bajet Rancangan Malaysia ke-13 (RMKe-13).
Lawatan ini telah berjaya memberi gambaran tentang cabaran dan isu-isu semasa yang dihadapi oleh anggota penguatkuasaan KDN dalam mengawal keselamatan sempadan negara.
YB DATUK SERI DR SHAMSUL ANUAR NASARAH
Timbalan Menteri Dalam Negeri (KDN)